
KUANTAN - Seramai 28 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran kejadian banjir kilat sekitar bandar Raub sehingga jam 8 pagi pada Selasa.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub dalam kenyataannya berkata, semua mangsa kini berada di PPS Dewan Simpang Kallang yang dibuka kira-kira jam 11.30 malam.
Menurut kenyataan itu, banjir kilat berpunca daripada hujan lebat yang berterusan selama dua jam di kawasan bandar Raub bermula kira-kira jam 8.40 malam.
"Sistem perparitan yang ada di sekitar bandar dipercayai tidak dapat menampung air hujan sehingga berlaku limpahan.
**media[2351384]**
"Keadaan banjir kilat di kawasan telah surut selepas hujan mulai reda," jelasnya.
Tambah kenyataan itu, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) segera membuat pemantauan berhubung kejadian selepas mendapat maklumat kira-kira jam 9.30 malam.
"Kerja-kerja pemindahan mangsa dilakukan selepas PPS di Dewan Simpang Kallang dibuka dengan bantuan pihak polis, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penduduk," kata kenyataan itu.

