
PETALING JAYA: Banjir kilat kembali melanda Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat pada awal tadi menyebabkan kawasan seperti di Jalan Merbau dinaiki air.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pemantauan dilakukan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong di kawasan berkenaan pada pukul 8.02 pagi tadi.
Menerusi gambar dan video yang beliau kongsikan lebih 10 buah rumah dilihat dinaiki air dan turut melimpah di Jalan Merbau sehingga menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan.
Sementara itu, menerusi perkongsian penduduk di media sosial Threads terdapat penggunanya mendakwa empat kali kejadian banjir berlaku dalam tempoh dua minggu.
“Gelombang 4.0. Doakan Kampung Melayu Subang,” kongsi ‘jannahseri.
“Doakan air cepat surut. Tak pernah empat kali banjir dalam masa dua minggu,” kata ‘nur_zahirahusna’.
“Allahuakbar, dua hari lepas baru kami cuci rumah dekat Jalan Merbau. Kesiannya kena banjir lagi. Semoga dipermudahkan segala urusan kalian,” ujar ‘cucisuccessservices’.
Minggu lalu, seramai 789 mangsa daripada 325 keluarga terjejas akibat kejadian banjir kilat di sekitar Kampung Melayu Subang.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku pada 4 petang.
Beliau berkata, antara kawasan terjejas adalah Jalan Jati, Jalan 4D dan Lorong 5D di Kampung Cina, Kampung Baru Subang serta Pangsapuri Seri Nilam, Subang Permata.
“Turut terjejas adalah di Jalan Merbau, Kampung Baru Subang, Jalan SP 1/8, Taman Subang Perdana, Jalan Bukit Badak dan Jalan Tembusu, Kampung Melayu Subang.
Dalam pada itu, berdasarkan laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini, seramai 1,000 mangsa masih di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Ijok, Kuala Selangor.
Kesemua mereka yang terdiri daripada 279 keluarga ditempatkan di sana apabila kawasan sekitar Kampung Parit Mahang dan Kampung Ijok masih digenangi air sejak minggu lalu susulan banjir termenung dialami mereka. – UTUSAN
The post Banjir kilat sekali lagi landa Kampung Melayu Subang appeared first on Utusan Malaysia.





![[VIDEO] Dukung anak di bahu, redah banjir hantar ke sekolah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-11-at-11.23.00-AM-1024x766.jpeg)