
Pengorbanan seorang bapa yang sanggup meredah banjir sambil mendukung anaknya di bahu demi memastikan kanak kanak itu dapat hadir ke sekolah mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku di Kampung Melayu Subang, Selangor yang sekali lagi dilanda banjir susulan hujan lebat pagi tadi.
Menerusi rakaman video yang tular di Threads, kelihatan seorang lelaki memakai topi keledar berwarna kuning sedang mendukung seorang kanak kanak berpakaian sekolah sambil meredah air banjir yang mencecah paras lututnya.
Lelaki berkenaan turut membawa sebuah beg berwarna merah ketika berjalan perlahan lahan mengharungi air keruh di kawasan perumahan yang dinaiki banjir.
Rakaman sama turut memperlihatkan beberapa buah rumah ditenggelami air sehingga memenuhi kawasan halaman dan anjung kediaman.
Video tersebut dikongsikan oleh pengguna Threads, @inaabdulaziz yang memaklumkan bahawa kanak kanak berkenaan merupakan muridnya.
Malah, dia turut meluahkan rasa syukur apabila muridnya itu berjaya tiba di sekolah dengan selamat.
“Cikgu terus menangis apabila melihat video ini. Alhamdulillah, awak selamat sampai ke sekolah.
“Semoga dipermudahkan segala urusan awak sekeluarga. Warga Threads, doakan semua penduduk Kampung Melayu Subang. Banjir lagi pada 11 November 2026,” tulisnya.
Perkongsian itu meraih lebih 23,000 tontonan dan menarik perhatian pengguna media sosial yang rata ratanya tersentuh melihat usaha seorang bapa memastikan anaknya dapat ke sekolah meskipun kawasan kediaman dilanda banjir.
Menjengah ke ruangan komen, ramai turut mendoakan keselamatan kanak kanak itu serta keluarganya.
“Adik, semangatnya hendak pergi sekolah walaupun rumah adik dilanda banjir,” kata @ka_ma_la_sa_ri.
Sementara itu, @aidaida89 turut memuji semangat kanak kanak berkenaan yang tetap hadir ke sekolah meskipun berdepan keadaan sukar.
“Dalamnya air. Walaupun banjir, adik tetap bersemangat datang ke sekolah. Semoga menjadi anak yang solehah dan berjaya di dunia serta akhirat,” responsnya.
Dalam pada itu, @emmalifakifasif berkongsi pengalaman pernah didukung oleh bapanya ketika mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sewaktu kawasan tempat tinggalnya dilanda banjir.
“Saya pernah didukung ayah seperti ini ketika hendak mengambil SPM. Ketika itu, air banjir sudah mencecah paras pinggang orang dewasa. Saya pula masih kecil, air sampai ke paras dada. Memang nostalgia yang akan diingati sampai bila bila. Terima kasih, ayah,” kongsinya.
Baca juga:Turut tersentuh dengan rakaman tersebut, @itsbintui mendoakan agar keluarga berkenaan terus diberikan kekuatan dan banjir segera surut.
“Ya Allah, sedihnya. Masih lagi mahu ke sekolah. Cekal dan kuat keluarga ini. Semoga Allah segera menghadirkan cuaca cerah dan mengeringkan air banjir,” katanya.



![[VIDEO] Dukung anak di bahu, redah banjir hantar ke sekolah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-11-at-11.23.00-AM-1024x766.jpeg)


