Banjir Lumpur ‘Teh Tarik’ Di Cameron Highlands, Jalan Tenggelam Lepas Hujan Lebat

LocalEnvironment
21 Apr 2026 • 7:15 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Banjir Lumpur ‘Teh Tarik’ Di Cameron Highlands, Jalan Tenggelam Lepas Hujan Lebat

CAMERON HIGHLANDS – Kejadian banjir lumpur dilaporkan berlaku di kawasan peranginan Ringlet susulan hujan lebat berterusan selama lebih dua jam, petang semalam.

Menurut laporan Harian Metro, hujan lebat yang melanda kawasan itu mencetuskan aliran air bercampur lumpur yang mengalir deras dari kawasan berbukit sehingga menenggelamkan sebahagian jalan utama dan menghalang pergerakan kenderaan.

Rakaman tular di media sosial turut menunjukkan air berwarna coklat pekat seperti ‘teh tarik’ memenuhi laluan jalan di Taman Habu Heights.

Menurut perkongsian pengguna Threads dikenali sebagai @farah.ilyanaa, kejadian itu berlaku di Ringlet dan bukannya di Brinchang atau Tanah Rata seperti yang disangka sesetengah pihak.

“Hujan baru berhenti, terus jadi banjir lumpur. Lokasi kat Ringlet, jauh dari Tanah Rata dan Brinchang. Siapa nak naik tu hati-hati musim hujan ni,” katanya.

Air Lumpur Deras Turun Bukit, Kenderaan Terjejas

Video yang dirakam dari kawasan lebih tinggi menunjukkan ‘sungai lumpur’ mengalir laju menuruni bukit, melanda beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan. Longkang sedia ada dilihat tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang sebelum pasukan tiba di lokasi setengah jam kemudian.

“Tiada kecederaan dilaporkan. Setakat ini, dua laporan polis diterima melibatkan kerosakan kenderaan akibat banjir kilat,” katanya.

Kerja Pembersihan Segera, Jalan Dibuka Semula

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Roadcare sejurus air mulai surut sekitar jam 4 petang. Laluan kembali dibuka tidak lama selepas itu.

Siasatan awal mendapati aliran air bercampur lumpur dipercayai datang dari kawasan Habu Heights sebelum melimpah ke jalan utama.

Dalam perkembangan sama, APM Cameron Highlands memaklumkan hujan lebat turut menyebabkan kejadian tanah runtuh kecil di Taman Orchid Deluxe Park, Ringlet. Laluan bagaimanapun berjaya dibersihkan oleh Jabatan Kerja Raya dan dibuka semula sekitar jam 5 petang.

Orang Ramai Bimbang, Isu Pembangunan Turut Dipersoal

Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai meluahkan kebimbangan, terutama mereka yang merancang ke Cameron Highlands hujung minggu ini. Ada juga yang mengaitkan kejadian berulang seperti ini dengan isu pembangunan yang didakwa tidak terkawal sehingga memberi kesan kepada alam sekitar.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika musim hujan dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih. – The Malaysian Update

The post Banjir Lumpur ‘Teh Tarik’ Di Cameron Highlands, Jalan Tenggelam Lepas Hujan Lebat appeared first on The Malaysian Update.