SHAH ALAM - Keluarga rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan tragedi banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-Tibet mendakwa kecewa dengan penjelasan kerajaan pada satu sesi pertemuan dan taklimat di ibu pejabat Wisma Putra hari ini.
Anak sulung kepada warga emas K Balasingam yang masih gagal dihubungi, Mures, 40, berkata, dia dan keluarga menyangka kerajaan dapat berkongsi maklumat atau bahan visual yang dapat memberikan gambaran sebenar keadaan di kawasan terbabit.
Menurutnya, bagaimanapun kerajaan tidak mempunyai sebarang informasi baharu berhubung keadaan bapanya.
"Setakat ini, kami tidak mendapat apa-apa maklumat daripada pihak kerajaan pun.
"Saya juga ada minta gambar keadaan sebenar di sana daripada dron dan sebagainya, tetapi kerajaan tidak dapat menyediakannya.
"Jadi kami kecewa. Ia seolah-olah buang masa datang ke sini," katanya pada Ahad.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, taklimat itu melibatkan Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara dan agensi berkaitan untuk memberikan penerangan lanjut mengenai usaha mengesan serta mencari mangsa yang dikategorikan sebagai hilang.
Media sebelum ini melaporkan tiada rakyat Malaysia dalam senarai 771 orang yang telah diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Rasuwa, Nepal, berikutan bencana banjir yang melanda kawasan itu, setakat Jumaat.
Menurut kenyataan Wisma Putra pada Sabtu, 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi, manakala dua lagi telah berjaya dihubungi.
Mures memberitahu, keluarga juga dimaklumkan bahawa pihak kerajaan berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan negara berkenaan dan hanya dapat berkomunikasi melalui pihak ketiga.



