Banjir Nepal: KLN semak penemuan mayat ada kaitan kumpulan Malaysia

1 Sep 2026 • 1:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: KLN semak penemuan mayat ada kaitan kumpulan Malaysia

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Nepal berhubung penemuan mayat seorang warga Nepal dipercayai mempunyai kaitan dengan rombongan disertai rakyat Malaysia dalam tragedi banjir yang melanda sempadan Nepal-Tibet minggu lalu.

Wisma Putra berkata, KLN mengambil maklum laporan tular mengenai seorang individu dilaporkan mempunyai kaitan dengan satu kumpulan yang terjejas akibat bencana banjir kilat di Nepal.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan di Nepal. KLN tidak akan membuat sebarang spekulasi mengenai laporan tersebut sementara proses pengesahan masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, tadi.

KLN berkata, pihaknya akan terus mengutamakan penyaluran maklumat yang telah disahkan mengenai kes individu secara langsung kepada waris.

“KLN dengan hormatnya memohon kerjasama pihak media untuk memberi ruang kepada proses ini dan menghormati privasi keluarga yang terlibat. Sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada umum akan disampaikan setelah maklumat berkenaan disahkan,” katanya.

Sebelum ini, satu mayat dipercayai warga Nepal didakwa daripada rombongan Leaf Holidays yang turut disertai 23 rakyat Malaysia ditemukan di kawasan Trishuli pada Ahad.

Mayat berkenaan ditemukan kira-kira 75 hingga 80 kilometer dari lokasi terakhir kumpulan itu diketahui.

Wakil waris, Dr. R Manivannan dilaporkan berkata, pihak berkuasa kini menunggu waris bagi proses pengecaman dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.

Menurutnya, maklumat tidak rasmi berhubung penemuan mayat itu diterima daripada ejen di Nepal selepas gambar mangsa berkenaan didakwa menyerupai salah seorang anggota rombongan terbabit. – KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: KLN semak penemuan mayat ada kaitan kumpulan Malaysia appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved