
PUTRAJAYA, 3 OKT: Seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi berikutan banjir dan tanah runtuh di Nepal telah selamat pulang ke tanahair manakala 54 lagi masih gagal dihubungi.
Menurut Kementerian Luar dalam kenyataan pada Sabtu, rakyat Malaysia itu datang sendiri ke Kedutaan Malaysia di Kathmandu pada 1 Okt dan identitinya disahkan sebelum dia pulang ke Malaysia keesokannya.
“Dengan statusnya kini disahkan, rekod kementerian ialah 54 rakyat Malaysia dilaporkan sebagai tidak dapat dihubungi.
“Kementerian akan terus mengesahkan setiap kes secara berasingan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui pihak berkuasa berkaitan dan saluran yang ada,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan bahawa pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan akan merekodkan kenyataan daripada individu tersebut untuk melengkapkan rekod rasmi berhubung kesnya dan dia juga akan menjalani penilaian kesihatan.
Kedutaan Malaysia di Kathmandu juga sedang menjalankan pengesahan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan dan menyemak rekod berkaitan berdasarkan perkembangan itu.
Bagaimanapun menurut kementerian, pihaknya tidak akan mendedahkan butiran peribadi lanjut mengenai warga Malaysia yang pulang itu kerana menghormati privasinya.
Sementara itu, Wisma Putra terus memantau perkembangan di Nepal berikutan pengumuman Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal pada 30 Sept bahawa operasi mencari dan menyelamat telah selesai dan beralih kepada usaha mencari dan pemulihan.
“Perkembangan ini tidak menamatkan usaha Malaysia untuk mengesahkan status kesemua 54 rakyat Malaysia yang dilaporkan sebagai tidak boleh dihubungi pada masa ini,” katanya.
Malaysia akan meneruskan usaha pengesahan menerusi kedutaannya di Kathmandu dan Beijing serta penglibatan berterusan dengan pihak berkuasa berkaitan dan saluran rasmi lain yang tersedia.
Kementerian juga akan terus mengikuti proses perundangan dan pentadbiran yang dibangunkan di Nepal berhubung dokumentasi dan prosedur yang terpakai kepada mangsa bencana yang masih tidak dapat dihubungi.
Ia menambah perkembangan yang disahkan mengenai kes individu akan dimaklumkan terus kepada waris terdekat mereka, sambil menggesa orang ramai dan media untuk menghormati privasi keluarga terbabit dan mengelak daripada spekulasi mengenai kes yang belum disahkan.
Banjir kilat dan tanah runtuh melanda daerah Rasuwa Nepal dan kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos selepas hujan lebat dan tanah runtuh berkaitan glasier di sepanjang Sungai Bhote Koshi.
Bencana itu menyebabkan kerosakan besar pada jalan raya, jambatan, rangkaian komunikasi dan infrastruktur lain, menyekat akses kepada beberapa kawasan terjejas dan menghalang operasi mencari dan menyelamat; gangguan elektrik dan telekomunikasi juga menyukarkan untuk menghubungi orang ramai di kawasan itu.






