
PETALING JAYA – Usaha mengesan serta mengesahkan status 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir di Nepal bulan lalu diteruskan, meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negara itu telah beralih kepada fasa pemulihan.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkembangan itu susulan pengesahan seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan belum dapat dihubungi, kini berada dalam keadaan selamat.
Menurut kementerian, individu berkenaan hadir ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober lalu dan identitinya telah disahkan oleh pihak kedutaan.
“Individu berkenaan telah selamat kembali ke Malaysia pada 2 Oktober 2026.
“Kementerian tidak akan mendedahkan maklumat peribadi lanjut mengenai individu berkenaan bagi menghormati privasi beliau.,” menurut kenyataan itu.
Susulan kepulangannya, Wisma Putra berkata, pihak berkuasa berkaitan di Malaysia akan mengambil keterangan daripada individu berkenaan bagi melengkapkan rekod rasmi kes tersebut.
“Individu berkenaan juga akan menjalani saringan kesihatan. Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan menjalankan pengesahan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal serta meneliti semula rekod berkaitan susulan perkembangan ini,” katanya.
Wisma Putra berkata, pihaknya akan terus mengesahkan setiap kes secara berasingan berdasarkan maklumat diperoleh melalui pihak berkuasa berkaitan dan saluran rasmi yang tersedia.
“Peralihan ini tidak bermakna usaha Malaysia untuk mengesahkan status 54 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi telah berakhir.
“Kementerian juga akan mengikuti perkembangan proses perundangan dan pentadbiran yang sedang dibangunkan di Nepal berhubung dokumentasi dan prosedur yang terpakai kepada mangsa bencana yang masih belum dapat dihubungi,” katanta.
Pada masa sama, Wisma Putra berkata, pihaknya akan terus memaklumkan perkembangan yang telah disahkan bagi setiap kes secara langsung kepada waris individu terlibat.
“Orang ramai dan pihak media digesa supaya menghormati privasi keluarga berkenaan serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Banjir Nepal: Usaha kesan 54 rakyat Malaysia diteruskan appeared first on Kosmo Online.






