
KUALA LUMPUR – Proses penyaluran bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada waris individu yang terkorban dalam tragedi banjir Nepal-Tibet dijangka dipercepatkan, dengan pembayaran dirancang pada 4 November ini.
Penyelaras dan Jurucakap Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH), Dr. Manivannan Rethinam berkata, perkembangan itu dimaklumkan kepada beberapa keluarga yang telah dihubungi Perkeso dengan proses pengumpulan dokumen sokongan kini sedang dipercepatkan bagi membolehkan bayaran disalurkan.
Beliau berkata, Perkeso mula menghubungi waris yang dikenal pasti layak menerima bayaran menerusi beberapa saluran, termasuk nombor telefon yang tersedia, pihak majikan dan media sosial.
“Susulan pertemuan bersama YB Menteri Sumber Manusia pada hari Rabu, pihak PERKESO telah mula menghubungi waris individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran sejak semalam, 29 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Manivannan, MASFIH turut membantu melancarkan proses berkenaan dengan menyelaras maklumat perhubungan waris selepas membangkitkan beberapa kekangan komunikasi pada peringkat awal.
“Susulan maklum balas yang diterima daripada beberapa ahli keluarga, saya telah menghubungi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Perkeso untuk membangkitkan perkara ini,” katanya.
Manivannan berkata, beliau kemudian menerima senarai individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran daripada pihak PERKESO sebelum mengemas kini maklumat waris, termasuk nombor telefon dan butiran perhubungan untuk diserahkan semula kepada agensi itu.
Sementara itu, MASFIH masih menantikan keputusan kerajaan berhubung Bantuan Khas Kewangan untuk 54 keluarga rakyat Malaysia yang terkesan akibat tragedi berkenaan. – Bernama
The post Banjir Nepal: Waris layak terima bayaran Perkeso 4 November appeared first on Kosmo Online.






