
SEBERANG PERAI – Firasat bapa pendaki Malaysia, Muhammad Zaki Othman, 29, kuat mengatakan yang anak kesayanganya itu masih berada di puncak gunung Nepal bersama dua rakan baiknya, namun mereka cuma terputus komunikasi.
Othman Mat Zin, 67, ketika ditemui Kosmo! di Kubang Semang, Permatang Pauh di sini, tadi berkata, dia yakin anaknya bersama Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27 dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, terselamat dalam kejadian banjir besar itu.
Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan gambar yang dihantar Muhammad Zaki sehari sebelum kejadian berlaku yang menunjukkan anaknya bersama dua rakan berada di kawasan tinggi.
“Dalam gambar itu nampak sungai yang sangat kecil di bawah kerana mereka berada di tempat tinggi. Jadi, saya yakin mereka masih berada di atas dan tidak dapat turun kerana laluan ke bawah musnah.
“Disebabkan itu, mereka mungkin terputus talian telekomunikasi menyebabkan kami tidak dapat menghubungi mereka sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya lagi, Zaki yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu sebelum ini sentiasa memberikan perkembangan kepada mereka dan kali terakhir menghantar WhatsApp pada malam Isnin, kira-kira pukul 8.43 malam.
“Sudah sembilan hari kami terputus hubungan dengan mereka. Sebelum kejadian, memang ada dia menghantar gambar dan berkomunikasi dengan keluarga seperti biasa.
“Zaki juga seorang yang aktif dalam aktiviti lasak termasuk berbasikal. Dia sudah biasa mendaki bukit, melainkan ke Nepal…ini yang kali pertama,” ujarnya.
Tambahnya, Zaki juga membawa beg yang besar bersama keperluan makanan dan bekalan yang dianggarkan mencukupi untuk lebih seminggu bagi mereka bertiga. -KOSMO! ONLINE
The post Banjir Nepal: Zaki ada atas gunung, cuma terputus hubungan appeared first on Kosmo Digital.




