Banjir: Pelajar UniSZA pindah ke asrama, rumah sewa dinaiki air

LocalEnvironment
2 Dec 2024 • 1:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelajar UniSZA tinggal di rumah sewa yang terjejas banjir dipindahkan ke asrama pada Ahad.

image is not available
Antara pelajar yang dipindahkan ke asrama UniSZA selepas rumah sewa mereka dinaiki air.

image is not available
Fadzli (tengah) menziarahi pelajar yang ditenpatkan di asrama UniSZA selepas rumah sewa mereka dinaiki air.

KUALA NERUS - Situasi banjir yang merebak di daerah ini menyebabkan 33 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak terpaksa dipindahkan ke asrama berikutan rumah sewa mereka dinaiki air.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, petugas banjir bertindak membawa pelajar terbabit ke asrama universiti itu selepas rumah sewa mereka dimasuki air sejak pagi Ahad.

"Pihak UniSZA mengambil tindakan pantas dengan membawa mereka ke lokasi selamat apabila rumah didiami dimasuki air akibat hujan berterusan sejak pagi semalam.

"Proses pemindahan pelajar berjalan lancar menggunakan aset milik UniSZA antaranya lori, bot, kayak serta van," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, lima pelajar dari kampus Besut juga telah dipindahkan ke asrama menjadikan jumlah keseluruhan pelajar UniSZA terjejas banjir seramai 38 orang.

"Kesemua pelajar yang terjejas telah menghubungi Task Force UniSZA memaklumkan bahawa rumah mereka dinaiki air dan mereka memerlukan bantuan pemindahan.

"Sebelum ini, UniSZA telah mengaktifkan bilik gerakan banjir bagi mengesan dan membantu pelajar dan staf yang terjejas dengan banjir," ujarnya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menyantuni pelajar yang terjejas banjir di kolej kediaman, di sini pada Ahad.