
JOHOR BAHRU: Seorang penternak lembu dan kambing lega apabila haiwan ternakannya di Kampung Maju Jaya, Jalan Kempas Lama di sini terselamat daripada ditenggelami banjir, semalam.
Dalhar Mohamad, 64, berkata dia hanya berserah kerana tidak sempat mengeluarkan lembu dan kambing daripada kandang apabila air naik kira-kira 10 pagi akibat limpahan dari Sungai Tebrau sehingga menenggelamkan kawasan kandang serta kediamannya.
“Air naik dengan cepat kira-kira paras semeter kerana kandang dan rumah terletak hanya 10 meter dari Sungai Tebrau. Mujur kandang kambing yang memuatkan 12 ekor tidak terjejas manakala sebahagian daripada kandang menempatkan 10 ekor lembu pula ditenggelami air.
“Kami hanya mampu pasrah kerana tidak sempat mengeluarkan lembu dan kambing daripada kandang, syukur semuanya masih hidup, cuma peralatan elektrik dan perabot dalam rumah banyak yang rosak,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Dalhar berkata, kejadian banjir itu turut memusnahkan 200 pokok cili yang telah diusahakannya sejak tiga tahun lepas.
Seorang lagi penduduk M Hairudin Yasin, 52, berkata dia mengalami kerugian hampir RM10,000 susulan kediamannya ditenggelami banjir.
Menurutnya, dia reda apabila melihat perkakas elektrik seperti peti sejuk beku, peti ais dan perabot rumahnya terapung dalam kejadian banjir semalam.
“Kereta, motosikal, dokumen serta dua ekor kucing sempat diselamatkan dan diletakkan di kawasan tinggi berhampiran rumah dengan jarak 500 meter.
“Semoga banjir ini tidak berlarutan dan harapnya pihak bertanggungjawab melebarkan jambatan dan tebing sungai bagi mengelakkan air sungai melimpah pada masa akan datang,“ katanya.
Pembantu bengkel, Azizzul Mohd Ismail, 35, berkata kejadian banjir itu menyebabkan sebahagian barangan dan alatan ganti motosikal di bengkel berkenaan rosak dan musnah.
“Saya pun tidak jangka kawasan ini akan dinaiki air, walaupun bersebelah dengan Sungai Tebrau yang jaraknya tidak sampai 10 meter. Sudah lama air tidak naik setinggi ini dan kali terakhir kawasan ini ditenggelami banjir pada 2006,“ katanya.
Setakat 3 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor sebanyak 7,458 orang yang berlindung di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru, Kulai, Segamat dan Pontian. -Bernama
