Banjir Sabah: 64 mangsa banjir dipindahkan 

2 Jan 2026 • 9:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi memindahkan mangsa banjir dilakukan oleh pasukan bomba di Kampung Suasa, Beaufort.

BEAUFORT- Seramai 64 penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Suasa di sini pada Jumaat.

Ketua  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, operasi memindahkan kesemua mangsa dilakukan oleh sepasukan anggotanya yang membuat pemantauan banjir di sekitar daerah ini.

"Seramai 64 mangsa terdiri daripada 20 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan bermula kira-kira jam 5 petang menggunakan lori bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Pemantuan di kawasan yang dinaiki air turut dijalankan dari semasa ke semasa oleh pasukan bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan ketika ini pihak kita dalam keadaan siap sedia untuk operasi pemindahan mangsa yang terjejas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan 13 kampung di daerah tersebut terjejas akibat banjir susulan paras air Sungai Padas meningkat disebabkan hujan berterusan di Keningau sejak Khamis.

Sementara itu, Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort, Mohd Nazri Ajun turut mengisytiharkan Beaufort sebagai kawasan bencana banjir.