
KUALA SELANGOR, 28 NOV: Selepas 23 hari kediamannya digenangi air akibat banjir termenung, seorang warga emas akhirnya menarik nafas lega apabila rumahnya dibersihkan menerusi gotong-royong pascabanjir di Kampung Ijok, di sini hari ini.
Muda’nah Nor, 68, yang sudah 40 tahun menetap di kawasan berkenaan mengakui buntu melihat keadaan kediamannya selepas hampir keseluruhan barangan rumah rosak akibat dua gelombang banjir.
“Semalam saya balik dari PPS (pusat pemindahan sementara) saya rasa nak pengsan. Saya terbaring di depan pintu rumah. Tak tahu nak cakap apa, tengok rumah macam itu.
“Alhamdulillah. Sebab tak sangka ada yang tolong macam ini. Ada yang ambil berat,” katanya ditemui Media Selangor hari ini.
Menurutnya, gelombang pertama banjir berlaku selama 13 hari sebelum disusuli gelombang kedua, menjadikan tempoh keseluruhan kediamannya terjejas selama 23 hari dan menyebabkan hampir keseluruhan barangan rumah rosak dan tidak lagi dapat diselamatkan.

Beliau tinggal berdua bersama anaknya seorang penghidap autisme selepas suaminya meninggal dunia pada 2019, sekali gus menjadikan situasi banjir lebih mencabar.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan banjir termenung yang menurutnya semakin teruk sejak pembinaan lebuh raya berhampiran kawasan kediamannya.
“Memang saya nak balik. Kalau boleh, saya memang nak balik. Dapat tempat tidur pun cukuplah. Sebab kalau boleh, saya nak tidur kat rumah. Saya dekat sana (PPS),” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang membantu membersihkan kediamannya sehingga membolehkan beliau kembali ke rumah selepas hampir sebulan berdepan banjir termenung.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang bersama kira-kira 400 petugas dan sukarelawan daripada pelbagai agensi, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan serta penuntut universiti membantu kerja pembersihan pascabanjir di tiga lokaliti iaitu Parit Mahang, Kampung Ijok dan Kampung Bukit Hijau.
Amirudin berkata bantuan pembersihan turut memberi keutamaan kepada kediaman golongan rentan, khususnya warga emas dan individu kurang upaya yang tidak berkemampuan menguruskan kerja pembersihan sendiri susulan kerosakan serta sisa banjir di rumah masing-masing.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua unit pam air tambahan dipasang di sekitar Kampung Parit Mahang dan Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor bagi mempercepatkan proses pengaliran air banjir.
Menurutnya, langkah itu susulan tinjauan mendapati kedua-dua kawasan berkenaan masih berdepan masalah air banjir termenung yang mengganggu keselesaan serta urusan harian penduduk.





