Banjir: Timor-Leste zahir simpati, sedia tawar bantuan kepada Malaysia

2 Dec 2024 • 1:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (kanan) bersama Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Timor-Leste hari ini menzahirkan simpati yang mendalam dan solidariti kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir yang teruk, baru-baru ini.

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, yang dalam rangka kerja lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia sehingga esok, berkata negara tersebut sedia menawarkan bantuan kepada Malaysia dalam usaha menangani bencana alam ini.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Timor-Leste, kami mengucapkan takziah kepada keluarga yang terjejas dan mengalami kehilangan, serta menawarkan sokongan kepada kerajaan Malaysia dalam usaha menangani bencana alam ini dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pertemuan dua hala di sini pada Isnin.

Setakat 8 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir di seluruh negara dilaporkan seramai 138,052 orang.

Xanana Gusmão tiba di Malaysia semalam untuk memulakan lawatan rasminya selama tiga hari, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini selepas memegang jawatan pada 1 Julai 2023. - Bernama