
KUALA LUMPUR, 17 OKT: Selangor menjadi contoh bagaimana pertumbuhan ekonomi yang kukuh mampu merapatkan jurang pendapatan antara daerah, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi.
Jelasnya, jurang pendapatan antara daerah terkaya dan termiskin di Selangor mengecil, 1.9 kali ganda ketika ini berbanding sekitar lebih dua kali ganda pada 2019, dengan Sabak Bernam dan Kuala Selangor mencatatkan pertumbuhan lebih pesat berbanding pusat bandar yang lebih maju seperti Klang dan Petaling.
“Inilah yang dimaksudkan dengan penyatuan ekonomi,” katanya pada Selangor ASEAN Business Conference (SABC) pada Rabu, yang diadakan bersempena Selangor International Business Summit (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
SIBS yang dianjurkan Invest Selangor bermula pada Rabu lalu dan akan berakhir hari ini, Sabtu 17 Oktober. Ia menghimpunkan pelabur, pemimpin industri, dan komuniti perniagaan untuk mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab teknologi dan ekonomi serantau.

Apurva turut memuji Selangor kerana melabur secara besar-besaran dalam pembangunan modal insan.
“Selangor ialah kuasa ekonomi. Negeri ini adalah rumah kepada seorang daripada setiap lima rakyat Malaysia dan menyumbang lebih daripada satu perempat kepada keseluruhan keluaran ekonomi negara.
“Selangor juga negeri dengan pendaftaran pendidikan tinggi tertinggi, merekodkan 480,000 kemasukan pada 2025 atau 35 peratus daripada jumlah kemasukan di peringkat nasional, terutamanya di institusi swasta.”
Beliau menggesa negeri lain supaya memperluas pelaburan melangkaui pusat bandar utama, membangunkan dasar yang bersesuaian dengan keperluan setiap daerah serta memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan dana yang lebih berkala.
Apurva berkata jurang pendapatan antara wilayah masih ketara, dengan negeri yang lebih kaya berkembang jauh lebih pesat berbanding negeri berpendapatan rendah.
Katanya, purata pendapatan di Kuala Lumpur kira-kira lapan kali ganda berbanding Kelantan, manakala Sabah dan Perlis masing-masing mencatatkan pertumbuhan tahunan sekitar tiga peratus di bawah anggaran potensi.
“Adakah perjalanan Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi akan menyatukan rakyat sebagai sebuah negara atau menyebabkan rakyat Malaysia terus bergerak pada kadar yang berbeza?” soalnya.

Sementara itu, Apurva berkata Malaysia berpotensi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini, namun kurang daripada separuh penduduk dijangka memperoleh pendapatan tinggi.
Keadaan itu, katanya, mewujudkan cabaran untuk memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan peluang yang lebih baik kepada rakyat.
“Kami mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus tahun ini, mengatasi kadar pertumbuhan serantau yang diunjurkan sebanyak 4.5 peratus. Pendapatan nyata per kapita negara juga hampir 18 peratus lebih tinggi berbanding sebelum pandemik.
“... Namun, menjelang akhir dekad ini, walaupun Malaysia melepasi ambang negara berpendapatan tinggi, kami mengunjurkan kurang daripada seorang bagi setiap dua rakyat Malaysia akan memperoleh pendapatan pada tahap tinggi.”
Menyentuh pembangunan serantau, Apurva berkata perdagangan intra-ASEAN hanya sekitar lebih satu perlima daripada jumlah keseluruhan perdagangan rantau ini.
Katanya, keadaan itu sebahagiannya berpunca daripada perbezaan peraturan, prosedur kastam dan sekatan terhadap sektor perkhidmatan antara negara anggota.
Halangan berkenaan meningkatkan kos perniagaan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu mengembangkan operasi merentasi sempadan negara.
“Keadaan ini memerlukan pengurangan halangan bukan tarif, penyelarasan peraturan yang lebih baik, pasaran perkhidmatan yang lebih terbuka serta peraturan yang lebih jelas dan konsisten,” katanya.
Beliau turut menggesa negara ASEAN mempercepat penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti dan membantu perniagaan berskala kecil bersaing dengan lebih berkesan.
Bagi Selangor, Apurva berkata hasrat negeri itu untuk menjadi negeri contoh ASEAN menjelang 2030 membuka peluang untuk menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau yang lebih erat.






