Bank Islam perkenal khidmat penulisan wasiat digital, proses lebih mudah dan jimat

LocalPersonal Finance
8 Apr 2026 • 4:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dari kiri; Zaharah, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, Perbankan Runcit BIMB; Mizan Misram dan Ahmad Saruji ketika Pelancaran perkhidmatan penulisan wasiat AWARIS melalui aplikasi BIMB Mobile di ibu negara pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Perancangan harta kini menjadi lebih mudah, pantas dan menjimatkan apabila Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan kerjasama Amanah Warisan Berhad (AWARIS) memperkenalkan perkhidmatan penulisan wasiat secara digital menerusi aplikasi BIMB Mobile.

Inisiatif tersebut membolehkan pelanggan menyediakan dokumen wasiat hanya dalam tempoh kira-kira lima minit, berbanding kaedah konvensional yang lazimnya mengambil masa berhari-hari dan memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk peguam serta agensi berkaitan.

Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Zaharah Abdul Muttalib berkata, pelancaran perkhidmatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan bank dalam meningkatkan akses dan kemudahan pelanggan untuk menikmati penyelesaian kewangan patuh Syariah.

Menurutnya, proses digital direka dengan aliran langkah yang tersusun dan mesra pengguna, di mana pelanggan hanya perlu mengikuti tiga langkah utama yang disediakan dalam aplikasi bagi melengkapkan penulisan wasiat.

“Dengan digital platform sekarang, ia lebih menyenangkan. Pelanggan hanya perlu ikut susunan yang telah ditetapkan dan ia memang dibenarkan di bawah keperluan kawal selia termasuk penetapan saksi pihak ketiga.

"Bagi penulisan wasiat melalui BIMB Mobile, saksi tersebut telah ditetapkan oleh rakan kongsi kami, jadi pelanggan tidak lagi perlu melalui peguam dan sebagainya.

“Tak perlu risau dari segi ketelusan, kerana AWARIS merupakan rakan kongsi Bank Islam sejak sekian lama. Sebagai institusi yang dikawal selia oleh Bank Negara, setiap rakan kongsi perlu melalui proses penilaian dan due diligence yang ketat.

"AWARIS telah memenuhi semua keperluan tersebut, jadi perkhidmatan ini boleh digunakan tanpa was-was," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran perkhidmatan tersebut sempena Hari Penghargaan Pelanggan Kekayaan Bank Islam, di sini pada Rabu.

Penulisan wasiat secara digital melalui BIMB ditawarkan pada kos yang jauh lebih rendah, iaitu sekitar RM300 berbanding caj lazim yang boleh mencecah ribuan ringgit, menjadikannya lebih mampu milik kepada orang ramai.

Lebih signifikan, Bank Islam menjadi bank pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penulisan wasiat Islamik secara digital sepenuhnya melalui aplikasi perbankan mudah alih, sekali gus mencerminkan komitmennya dalam memperkasa inovasi kewangan berlandaskan patuh Syariah.

Sehubungan itu, Zaharah menambah, Bank Islam akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan AWARIS bagi menyediakan penyelesaian perancangan harta yang komprehensif dan patuh Syariah.

“Kami percaya gabungan kepakaran dan sinergi kukuh antara kedua-dua pihak akan terus meningkatkan portfolio pengurusan kekayaan kami serta menyampaikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan.

"Seiring dengan usaha memperluas penggunaan penyelesaian digital patuh Syariah, kami akan terus mencari peluang dan meneroka potensi pasaran baharu bagi menyokong kesejahteraan serta memperkasakan komuniti melalui penyelesaian kewangan yang inklusif, mudah diakses dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan AWARIS, Prof Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, integrasi keupayaan penulisan wasiat AWARIS ke dalam platform BIMB Mobile merupakan satu langkah transformasi dalam landskap perancangan harta digital di Malaysia.

Katanya, kerjasama AWARIS dengan Bank Islam didorong oleh visi bersama untuk menjadikan perancangan legasi patuh Syariah lebih mudah diakses dan intuitif.

"Dengan membawa perkhidmatan penting ini ke dalam persekitaran digital, kami memperkasakan individu untuk Perancangan dan pengagihan harta secara bertanggungjawab adalah tonggak penting kesejahteraan kewangan yang menyeluruh.

"Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami terhadap inovasi dan inklusiviti kewangan, memastikan setiap pelanggan Bank Islam mempunyai alat yang diperlukan untuk mengurus wasiat mereka dengan tenang.

"Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada pelancaran bersejarah ini dan berharap dapat memupuk budaya perancangan harta yang lebih proaktif melalui pengalaman digital yang lancar," ujar beliau.

Perkhidmatan Penulisan Wasiat AWARIS boleh diakses oleh semua pelanggan Bank Islam melalui bahagian Service Hub dalam aplikasi BIMB Mobile.

Bagi menggalakkan penggunaan, Bank Islam menawarkan harga promosi khas sebanyak RM300 untuk Pelan Platinum, eksklusif melalui BIMB Mobile.

Seramai 250 pelanggan pertama yang melengkapkan permohonan juga akan menerima baucar Touch ’n Go eWallet bernilai RM40.