
PETALING JAYA – Industri perbankan memberi jaminan untuk terus membantu keluarga mangsa yang terjejas akibat insiden tanah runtuh di Nepal, termasuk menerusi penangguhan bayaran balik pinjaman serta aturan pembayaran yang lebih fleksibel.
Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) berkata, bantuan berkenaan sudah mula dilaksanakan sejak awal Oktober lalu, dengan bank-bank yang terbabit turut menghubungi keluarga mangsa.
Menurut ABM, pihaknya memahami tekanan, kesedihan dan ketidakpastian yang dihadapi keluarga serta waris terdekat mangsa susulan kejadian berkenaan.
“Bantuan merangkumi penangguhan bayaran balik dan aturan pembayaran fleksibel bagi meringankan komitmen kewangan yang ditanggung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ABM berkata, kebajikan keluarga dan waris mangsa kekal menjadi keutamaan dan pihaknya menghargai usaha semua pihak yang terbabit dalam memastikan sokongan sewajarnya dapat disalurkan kepada mereka.
Bagi memudahkan keluarga mendapatkan bantuan, bank anggota ABM turut menyediakan pegawai khusus untuk dihubungi bagi membimbing waris yang terjejas, menyelaras permohonan serta membantu dalam urusan dokumentasi dan proses pentadbiran yang diperlukan.
“ABM dan bank anggotanya kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta semua pihak berkaitan bagi menyokong keluarga terjejas dengan penuh keprihatinan, belas ihsan dan rasa hormat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bank komited bantu keluarga mangsa tragedi tanah runtuh Nepal appeared first on Kosmo Online.






