Keluarga 54 Rakyat Malaysia Hilang Desak Kerajaan Sahkan Status

20 Oct 2026 • 7:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Keluarga 54 Rakyat Malaysia Hilang Desak Kerajaan Sahkan Status

KUALA LUMPUR - Keluarga kepada 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir dan tanah runtuh berhampiran sempadan Nepal-China mendesak kerajaan mengesahkan secara rasmi status kehilangan ahli keluarga mereka bagi memudahkan urusan tuntutan insurans dan kewangan.

Wakil Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), R. Manivannan berkata, perkara itu merupakan antara sembilan keutamaan dalam kertas cadangan setebal 29 halaman yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pertemuan tertutup di Parlimen hari ini.

Menurutnya, Anwar memberi jaminan bahawa cadangan bagi membantu keluarga terjejas itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini

Antara cadangan lain dikemukakan termasuk bantuan kewangan, khidmat guaman, penyelarasan bantuan kerajaan yang lebih baik serta usaha diplomatik dengan pihak berkuasa Nepal dan Wilayah Autonomi Tibet, China.

MASFIH turut mencadangkan pelantikan seorang menteri penyelaras bagi memastikan keperluan keluarga terlibat dapat ditangani secara lebih sistematik.

Manivannan berkata, surat yang dikeluarkan Kementerian Luar setakat ini hanya menyatakan individu terbabit tidak dapat dihubungi, tanpa pengesahan rasmi bahawa mereka dikategorikan sebagai orang hilang.

“Kami mahu mendapatkan surat pengesahan bahawa ahli keluarga kami adalah orang hilang.

“Dokumen ini tidak bermaksud mereka telah diisytiharkan meninggal dunia. Ia diperlukan bagi membantu keluarga menguruskan perkara berkaitan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Kejadian banjir dan tanah runtuh berhampiran sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu menyebabkan 55 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka kemudian disahkan selamat selepas hadir ke Kedutaan Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober sebelum pulang ke Malaysia keesokan harinya.

Perkembangan itu menjadikan 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan. - Getaran, 20 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved