Bank Muamalat perkenal Sijil Simpanan Islamik edisi terhad sempena Hari Kebangsaan ke-66

8 Sep 2023 • 6:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bank Muamalat perkenal Sijil Simpanan Islamik edisi terhad sempena Hari Kebangsaan ke-66

azan

08/09/2023 - 18:17

KUALA LUMPUR 8 Sept - Bank Muamalat Malaysia Berhad hari ini memperkenalkan Sijil Simpanan Islamik edisi terhad sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66.

Sijil Simpanan Islamik edisi terhad itu hanya tersedia sebanyak 6,600 unit edaran yang melambangkan 66 tahun kemerdekaan Malaysia dan pada masa sama menawarkan peluang eksklusif untuk melabur dalam instrumen simpanan patuh syariah.

Inisiatif itu membuktikan komitmen Bank Muamalat dalam mengukuhkan simpanan serta memastikan kewangan yang berdaya tahan buat pelanggannya.

Sijil Simpanan Islamik turut menawarkan pelbagai hadiah menarik yang berjumlah lebih daripada RM3 juta dan memberi dua kali peluang kepada pelanggan untuk memenangi RM1 juta setiap satu pada November 2023 dan Februari 2024.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya berbesar hati melancarkan Sijil Simpanan Islamik edisi terhad itu sebagai memperingati 66 tahun kemerdekaan negara.

"Bukan sahaja ia berfungsi sebagai saluran simpanan yang selamat, tetapi ia juga memberi peluang kepada pelanggan kami untuk menjadi Jutawan SSi serta mencipta Kehidupan Lebih Baik, Bersama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bank Muamalat akan turut menganjurkan promosi melalui jerayawara, pembukaan reruai dan pelbagai lagi ke seluruh negara.

Sijil Simpanan Islamik edisi terhad itu tersedia di seluruh 68 cawangan Bank Muamalat sehingga 30 September 2023. - DagangNews.com