Bank Pembangunan sasar tanam 2,000 pokok bakau tahun ini
zulfadli
11/09/2023 - 09:28
KUALA LUMPUR 11 Sept - Amanah Lestari Alam (ALAM), sebuah yayasan di bawah pimpinan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), mengukuhkan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan menyasarkan sebanyak 2,000 anak pokok bakau ditanam di empat lokasi Semenanjung Malaysia tahun ini.
Menerusi penganjuran program itu baru-baru ini, lebih daripada 100 peserta, termasuk pekerja BPMB dan sukarelawan dari Kelab Belia Prihatin Malaysia (Belia Prihatin) menyertai program tersebut.
Program itu bertujuan untuk memulihara dan melindungi kawasan bakau di Taman Negeri Setiu Wetlands di Setiu, Terengganu, melalui penanaman 500 anak pokok bakau.
Ketua Pegawai Sumber Manusia BPMB, Sainursalwa Sani berkata, pihaknya amat komited terhadap penjagaan alam sekitar dan sumbangan kepada pembangunan negara.
"Program ini mencerminkan dedikasi kami kerana ianya selari dengan tunjang utama tanggungjawab sosial korporat BPMB dan matlamat utama kami untuk memberikan modal berimpak untuk pembangunan negara.
"Kami komited untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga BPMB, dan inisiatif ini mengukuhkan lagi komitmen tersebut.
"Ia menjadi kebanggaan besar buat kami untuk menjadi sebuah hab bakat, yang mana kami dapat terus memupuk hubungan dan jalinan selain memberikan impak yang bermakna terhadap alam sekitar dan komuniti tempatan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Inisiatif ALAM ini adalah seruan untuk menggerakkan tindakan pemuliharaan alam sekitar dan menegaskan keperluan mendesak untuk memulihkan hutan bakau Malaysia.
Sehingga hari ini, ALAM berjaya menanam 1,300 anak pokok di pelbagai lokasi, dan dijangka melebihi sasaran awal yang ditetapkan di permulaan program ini.


Program penanaman bakau sebelum ini diadakan di Taman Alam Kuala Selangor, Selangor, pada 26 Februari dan di Pusat Penyelidikan Kecil Hutan Paya Laut di Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada 27 Mei lepas.
Komitmen yayasan diteruskan lagi dengan program keempat dan terakhir yang dijadualkan pada November 2023 di Johor Bahru.
ALAM bergerak aktif dalam pelbagai inisiatif melibatkan pemeliharan alam sekitar, memupuk kesedaran, pendidikan awam, dan budaya penjagaan alam sekitar melalui kerjasama dengan masyarakat, entiti awam, dan sektor swasta. - DagangNews.com


