Bank Rakyat agih dividen 17% berjumlah RM486 juta bagi FY24

LocalBusiness & Finance
16 Apr 2025 • 3:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bank Rakyat agih dividen 17% berjumlah RM486 juta bagi FY24

image is not available

16/04/2025 - 15:49

KUALA LUMPUR 16 April - Bank Rakyat mengumumkan agihan dividen sebanyak 17%, berjumlah RM486.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

Bank tersebut secara konsisten mengekalkan kadar dividen dua angka selama lebih 20 tahun, dengan agihan tahun lalu direkodkan sebanyak 15%, berjumlah RM424.62 juta.

Bank Rakyat merupakan bank koperasi Islam terbesar di negara ini dan beroperasi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pembayaran dividen yang konsisten mencerminkan komitmen teguh Bank Rakyat dalam memenuhi mandatnya untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi ahli dan pelanggan, sekali gus mempromosikan kesaksamaan dan kemakmuran di semua lapisan masyarakat.

image is not available

Beliau berkata, pembayaran dividen akan dilakukan mulai hari ini dan akan memanfaatkan 773,859 anggota

Prestasi kewangan yang memberangsangkan membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingannya untuk sokongan berterusan.

“Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM36.43 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM18.22 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Jumlah sumbangan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM54.65 juta berbanding RM53.21 juta pada tahun sebelumnya,” katanya pada majlis pengumuman prestai kewangan dan dividen Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohamad Irwan Mohd. Mubarak berkata, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi sebanyak RM1.82 bilion berbanding RM1.76 bilion pada tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 3.15% atau RM55.43 juta.

Beliau berkata, prestasi yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas, fokus terhadap aktiviti teras dan didorong keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar. - DagangNews.com

featured standard