Bantahan bina masjid di Bukit Bintang bukti syiar Islam terus dicabar - Mohd Amar

LocalPolitics
28 Jun 2026 • 11:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bantahan bina masjid di Bukit Bintang bukti syiar Islam terus dicabar - Mohd Amar
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifatkan bantahan terhadap cadangan pembinaan sebuah masjid di Bukit Bintang oleh seorang veteran DAP baru-baru ini sebagai petanda bahawa syiar Islam di negara ini masih terus dicabar.

Menurut beliau, dakwaan bahawa Islam di Malaysia tidak pernah terancam perlu dinilai semula kerana insiden tersebut menimbulkan persoalan sejauh mana syiar Islam benar-benar dihormati dalam ruang awam.

Katanya, keadaan itu lebih mendukacitakan apabila terdapat segelintir orang Islam yang sanggup mempertahankan tindakan berkenaan dan berdiri bersama pihak yang dilihat melemahkan kedudukan umat.

"Ada pihak yang sering mendakwa Islam di negara ini tidak pernah terancam. Walhal, bantahan terhadap cadangan pembinaan sebuah masjid di Bukit Bintang baru-baru ini oleh seorang veteran DAP mengundang persoalan tentang sejauh mana syiar Islam benar-benar dihormati dalam ruang awam.

"Lebih mendukacitakan apabila terdapat juga segelintir orang Islam yang sanggup mempertahankan tindakan tersebut dan berdiri bersama pihak yang dilihat melemahkan kedudukan umat," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Mohd Amar memberitahu, sejarah membuktikan Islam yang paling digeruni ialah Islam yang mengatur kehidupan secara menyeluruh merangkumi aspek akidah, ibadah, akhlak, pemerintahan, keadilan dan pentadbiran.

Beliau berkata, atas sebab itu usaha melemahkan kefahaman politik umat Islam sentiasa berlaku dalam pelbagai bentuk.

Menurutnya, masyarakat juga perlu mengambil perhatian apabila titah dan pandangan institusi Raja yang menjadi payung kepada agama Islam dijadikan polemik serta dipandang ringan.

"Apabila rasa hormat terhadap institusi yang memayungi agama semakin terhakis, masyarakat wajar bertanya ke arah manakah kita sedang dibawa," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amar mengingatkan bahawa peristiwa Hijrah Rasulullah SAW membuktikan kejayaan tidak hanya bergantung kepada semangat dan tawakal, sebaliknya memerlukan strategi, perancangan serta pengurusan yang tersusun.

Beliau turut menegaskan perpaduan ialah benteng kekuatan umat Islam dan mengingatkan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan umat serta membuka ruang kepada pihak lain menentukan masa depan mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam menjadikan kedatangan tahun baharu Hijrah sebagai medan muhasabah untuk memperkukuhkan perpaduan, mempertahankan agama dengan ilmu, hikmah dan akhlak yang mulia serta membina masa depan umat melalui perancangan yang tersusun, amanah yang tinggi dan kesungguhan dalam berusaha.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved