
KUALA LUMPUR - Belum 24 jam keputusan Lembaga Pengampunan diumumkan, UMNO sudah menggerakkan usaha merayu sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan denda RM50 yang diperintahkan ke atasnya.
Dikenali sebagai Tabung Solidariti Najib Razak, usaha berkenaan dikatakan inisiatif Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif berkenaan dizahirkan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti seluruh keluarga UMNO serta rakyat Malaysia yang ingin bersama-sama memberikan sokongan kepada Najib, atas jasanya kepada negara.
Menurut beliau, kepimpinan, ahli UMNO serta seluruh masyarakat dijemput untuk menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing melalui saluran rasmi.
“Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun di bawah yang diseliakan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia: PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (UMNO)
Nombor Akaun: 8604886094
Bank: CIMB ISLAMIC
“Terima kasih atas keprihatinan, sokongan dan keikhlasan seluruh rakyat yang bersama dalam inisiatif ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, inisiatif UMNO itu meraih persoalan ramai yang gagal melihat rasional di sebalik keputusan berkenaan.
Seorang ahli perniagaan terkemuka mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut, apatah lagi Najib sudah disabitkan bersalah atas tuduhan dikenakan.
“Sejak bila negara ini mengamalkan konsep membela pesalah? Dan mengapa pula perlu berkorban duit ringgit hanya untuk membolehkan seorang pesalah menjalani hukuman dengan selesa di rumah?” soalnya.
Seorang tokoh politik veteran pula dengan nada sinis berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tabah menjalani hukuman di penjara tanpa sebarang ‘kekecohan’ hinggalah beliau dikurniakan pengampunan penuh pada 16 Mei 2018.
“Beliau terima sahaja apa (hukuman) ditetapkan ketika itu. Tak ada banyak soal. Tapi yang satu ni (merujuk kepada Najib) banyak benar riuhnya.
“Kalau dah tahanan rumah, itu bukanlah (hukuman) penjara lagi namanya,” katanya sinis.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini sepakat memberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu hanya diberi jika beliau membayar denda sebanyak RM50 juta. - Getaran, 18 September 2026






