Setiap ahli UMNO dicadangkan menyumbang RM50 seorang bagi membantu parti mengumpulkan dana berjumlah RM50 juta untuk melunaskan denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Cadangan itu dikemukakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang berpandangan sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya sejuta daripada lebih tiga juta ahli UMNO tampil memberikan sumbangan.
Menurutnya, jumlah RM50 juta boleh dikumpulkan dengan mudah sekiranya setiap seorang daripada sejuta ahli tersebut menyumbang RM50.
Mohd Puad berkata, cadangan berkenaan turut selari dengan saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya parti mengadakan kutipan dana bagi membantu Najib melunaskan denda berkenaan.
“Saya sokong saranan Zahid bahawa UMNO akan buat kutipan dana untuk bayar denda RM50 juta yang Najib kena bayar. Walaupun saya bukan lagi ahli UMNO, Insya-ALLAH saya pasti akan memberi sumbangan.
“Oleh kerana UMNO ada ahli melebihi tiga juta orang, maka alangkah baik kalau sejuta ahli menyumbang RM50. Dengan mudah RM50 juta sudah terkumpul,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Khamis.
Sebelum ini, UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu meringankan beban Najib untuk melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan berkaitan baki hukuman tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata, parti berharap seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong, termasuk mana-mana pihak yang ingin memberikan sokongan, dapat menyumbang secara sukarela kepada kutipan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengulangi pendiriannya bahawa Najib menjadi mangsa dendam politik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tetap yakin Najib mangsa dendam politik Mahathir,” jelasnya.
Artikel lain: Zahid luah syukur! UMNO buka tabung bantu ringankan beban Najib bayar denda RM50 juta
Beliau bagaimanapun secara berseloroh meminta supaya kenyataannya itu tidak dilihat sebagai campur tangan dalam urusan berkenaan.
“Diharap saya tidak dicop penyibuk,” tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)






