
SEBERANG PERAI – Baru berusia sebulan, namun bayi lelaki Areeq Zayyan Muhamad Syamsul Akmal terpaksa berdepan masalah jantung kompleks yang memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.
Bayi dari Kubang Semang itu kini memerlukan dana RM130,000 untuk menjalani pembedahan jantung selepas disahkan menghidap beberapa kecacatan jantung kongenital sejak dilahirkan.
Bapanya, Muhamad Syamsul Akmal Mazalan, 31, berkata Areeq Zayyan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selepas mengalami masalah pernafasan sejak lahir.
Katanya, pemeriksaan doktor mendapati anaknya mengalami Transposisi Arteri Besar, selain kecacatan septum ventrikel, kecacatan septum atrium dan duktus arteriosus paten.
“Doktor memaklumkan pembedahan perlu dibuat dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas lahir bagi mengelakkan keadaannya bertambah buruk dan mengancam nyawa.
“Pembedahan telah dijadualkan dilaksanakan pada 24 Ogos (semalam), namun kosnya terlalu tinggi,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya tampil membantu keluarga berkenaan dengan mengumpulkan dana RM130,000 bagi menampung kos pembedahan Areeq Zayyan. – KOSMO! ONLINE
The post Bantu selamatkan nyawa Areeq Zayyan,hidap jantung kompleks appeared first on Kosmo Digital.

