
SHAH ALAM, 16 NOV: Bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Selangor baru-baru ini memberi kesan besar kepada penduduk, terutamanya melibatkan kerosakan kediaman dan harta benda.
Bagi meringankan beban mangsa, Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan dan institusi berkaitan menyediakan pelbagai bantuan kewangan, kebajikan serta sokongan baik pulih premis.
Pastikan anda menyemak syarat kelayakan dan memohon menerusi saluran rasmi bagi senarai bantuan di bawah:
1. Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Tunai Khas
Bantuan tunai kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak merangkumi:
Bantuan Wang Ihsan (BWI): RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan.
Bantuan Tunai Tambahan Khas: RM2,500 bagi setiap KIR terjejas (diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 November 2026).
Sumbangan Tambahan Kerajaan Negeri: RM500 daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Permohonan boleh dibuat dengan mendaftar sebagai mangsa bencana di pusat pemindahan sementara (PPS) serta mengemas kini maklumat diri dan isi rumah menerusi aplikasi MyIBJKM.
Selepas senarai nama disahkan oleh Pejabat Daerah atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), bayaran bantuan akan dikreditkan terus ke akaun penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Muat turun aplikasi MyIBJKM di pautan berikut: Daftar MyIBJKM
2. Bantuan Kewangan mengikut Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Selangor
Selain bantuan di peringkat Persekutuan dan Negeri, mangsa banjir juga boleh membuat permohonan terus menerusi pejabat daerah masing-masing mengikut saluran yang disediakan:
a) Pejabat Daerah dan Tanah Klang
Mangsa banjir di daerah Klang boleh membuat permohonan bantuan kewangan serta menyemak panduan lanjut menerusi saluran berikut:
Pautan permohonan
Panduan cara permohonan:
b) Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor
Penduduk terjejas di daerah Kuala Selangor pula boleh memuat turun borang permohonan bantuan bencana, melengkapkan maklumat diperlukan dan menghantarnya semula ke pejabat daerah untuk tindakan lanjut.
3. Bantuan Zakat - Lembaga Zakat Selangor (LZS)
Bagi golongan asnaf yang berdepan kesulitan dan terjejas akibat bencana banjir, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menyediakan sokongan kewangan menerusi beberapa kategori bantuan zakat.
Permohonan serta semakan maklumat lanjut boleh dibuat terus melalui portal rasmi LZS:
Portal Permohonan Zakat Selangor:
Mangsa banjir disarankan untuk membuat semakan dan permohonan menerusi saluran rasmi yang disenaraikan di atas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau kelewatan dalam proses penyaluran bantuan.






