
SEPANG, 10 OKT: Bantuan peralatan menerusi program Blueprint Selangor membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa dan membuka peluang mengembangkan perniagaan.
Bagi peniaga yong tau fu, Khaizatun Khazreen Kamaruddin, 34, bantuan itu membolehkannya menyimpan stok makanan sejuk beku sehingga lima hari tanpa perlu keluar membeli bekalan setiap hari.
Beliau berkata peti sejuk pameran, peti sejuk beku dan dapur memasak tiga tungku yang diterima bukan sahaja memudahkan urusan perniagaan, malah mengurangkan kos perjalanan untuk mendapatkan bekalan.

Menurutnya, ruang penyimpanan terhad sebelum ini menyebabkan beliau terpaksa kerap mendapatkan bekalan dari Nilai, Negeri Sembilan dan Salak berikutan pilihan pembekal yang terhad di kawasan perniagaannya.
“Lima hari punya stok boleh simpan dalam itu, jadi jimatlah masa saya juga. Tak adalah hari-hari saya nak pergi beli barang,” katanya kepada Media Selangor.
Khaizatun berkata kemudahan baharu itu turut membolehkannya mempamerkan lebih banyak pilihan makanan kepada pelanggan, selain mengurangkan beban kewangan untuk membeli sendiri kelengkapan perniagaan.
Sementara itu, peniaga ais krim dan minuman, Roslinda Zamri, 40, berharap bantuan mesin ais krim dan kaunter teh bernilai hampir RM10,000 dapat meningkatkan jualan serta membuka peluang menerima lebih banyak tempahan.
Roslinda yang menjalankan perniagaan sejak hampir dua tahun lalu berkata peralatan berkenaan membolehkannya merancang untuk menawarkan perkhidmatan bagi pelbagai acara termasuk majlis kenduri.
“Dengan bantuan ini, alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan jualan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan peniaga kecil supaya merebut peluang mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri melalui saluran yang betul, termasuk pejabat ketua kampung dan pusat khidmat wakil rakyat.

Dalam pada itu, peniaga kedai serbaneka, Adi Akmal Md Anour, 43, bercadang menambah perkhidmatan mencetak dokumen selepas menerima bantuan komputer riba dan mesin pencetak.
Menurutnya, peralatan itu juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan promosi bagi menarik lebih ramai pelanggan dan mengembangkan perniagaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana program ini memberi peluang kepada peniaga kecil mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf hidup, sedangkan kos membeli sendiri peralatan agak tinggi,” katanya.
Secara keseluruhan, seramai 32 usahawan di Sepang menerima bantuan peralatan dengan nilai dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000.
Jumlah itu membabitkan 19 penerima Blueprint Selangor dan 13 penerima Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED).






