Bantuan lebih RM5 juta untuk penduduk Rantau Panjang

LocalPolitics
9 Feb 2025 • 1:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Siti Zailah menerima bantuan daripada Nyok Mooi dalam usaha membantu golongan memerlukan.

image is not available
Nyok Mooi (kiri) bersama Siti Zailah melihat sumbangan sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan.

RANTAU PANJANG - Parlimen Rantau Panjang menerima bantuan barangan bernilai lebih RM5 juta ringgit daripada Yayasan Muhibbah (YMB) yang akan disalurkan dalam tempoh dua tahun bermula Januari lepas hingga hujung tahun depan.

Sumbangan untuk lebih 30,000 golongan sasar termasuk asnaf dan mangsa banjir itu dimeterai dalam satu perjanjian antara kedua-dua pihak di sini pada Ahad.

Pengarah Yayasan Muhibbah, Dr Lo Nyok Mooi, berkata, pihaknya prihatin terhadap keadaan penduduk kurang bernasib baik dan mengalami banyak kerugian akibat bencana banjir saban tahun.

“Oleh sebab itu, pihak yayasan bersepakat dengan Parlimen Rantau Panjang untuk menyalurkan pelbagai bantuan barangan merangkumi perabot, kelengkapan sekolah dan pakaian.

**media[3000545]**

“Selainnya, pihak yayasan juga akan memberikan bantuan dalam bentuk makanan sejuk beku dan kering kepada penduduk yang memerlukan,” katanya selepas Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) Penubuhan Food Bank dan Bantuan Bencana di Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang di sini pada Ahad.

Menurut beliau, bantuan disalurkan itu diperoleh daripada pihak-pihak korporat dan orang persendirian dari pelbagai negara termasuk Hong Kong, China, Vietnam dan Singapura.

Ujarnya, kerjasama dengan pihak Parlimen Rantau Panjang itu juga disertakan dengan penubuhan gudang dan bilik sejuk beku untuk penyimpanan serta pengagihan barangan komuniti berteraskan prinsip alam sekitar, sosial juga tadbir urus.

“Lebih RM1 juta barangan sudah diagihkan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang baru-baru ini.

“Lima kontena barangan antaranya membabitkan perabot akan tiba ke Rantau Panjang dalam tempoh terdekat untuk diberikan kepada mangsa banjir dan warga asnaf di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, MoU itu pertama kali dilaksanakan di peringkat Parlimen terbabit dalam membantu penduduk memerlukan.

“Peruntukan sedia ada di setiap Parlimen tidak mencukupi dan saya amat mengalu-alukan lebih ramai pihak badan bukan kerajaan seperti YBM untuk bersama-sama meringankan bebanan rakyat.

“Bantuan yang diberikan itu akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 penduduk kurang bernasib termasuk kira-kira 25,000 mangsa banjir,” katanya.