Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan mula diagihkan bermula esok melalui pengkreditan terus ke akaun bank, memberi manfaat kepada hampir 9 juta penerima di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, memaklumkan jumlah keseluruhan bantuan ini meningkat kepada RM2.3 bilion, berbanding RM2.1 bilion tahun lalu. Penyaluran bantuan ini akan dilaksanakan secara berperingkat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), bergantung kepada kategori kelayakan STR masing-masing.
“Kenaikan kadar maksimum isi rumah kepada RM4,600 tahun ini, hampir 25 peratus lebih tinggi berbanding RM3,700 tahun lalu, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selain itu, kadar minimum bagi kategori bujang turut meningkat kepada RM600 berbanding RM500 pada tahun sebelumnya, mencatatkan kenaikan sebanyak 20 peratus.
Kerajaan berharap peningkatan ini, termasuk pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dapat membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, baik di peringkat domestik mahupun global.
Pemohon baharu atau mereka yang ingin mengemas kini maklumat boleh berbuat demikian sepanjang tahun melalui portal rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. Proses verifikasi akan dilakukan mengikut kategori kelayakan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada yang benar-benar layak.
Sumber: Sinar Harian
The post STR Fasa 1 mula disalurkan esok, manfaat hampir 9 juta penerima appeared first on The Reporter.



