
SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Selangor akan menilai semula proses kelulusan permohonan bantuan peralatan dan mesin perniagaan bagi mempercepat penyerahan kepada penerima supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata langkah itu penting bagi memastikan bantuan dapat dimanfaatkan lebih awal untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi dan mampan.
"Formulanya adalah kita menilai permohonan pada awal Februari atau Mac dan memerlukan beberapa urusan kewangan dan kelulusan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor...kita biasanya lulus pada April.
"Tetapi pada tahun ini kita dah buat dua batch sebenarnya, sebelum Jun dan hujung tahun penyerahan terakhir. Kalau boleh, saya hendak buat dua-dua program penyerahan dua sesi.
"Permohonan memang begitu ramai, saya akan menilai semula dan beri arahan kepada pegawai terlibat supaya kita buat persiapan awal sebelum Mei dan Jun serahkan batch pertama. Kita mahu barang diserah secepat mungkin dan terima manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Izuan Kassim berhubung menilai semula permohonan bantuan supaya permohonan dipercepat pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Papparaidu memaklumkan RM2.9 juta atau 97 peratus daripada RM3 juta diperuntuk bagi Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan (Blueprint) dan Bantuan Peralatan Usahawan India (i-SEED) telah dibelanja pada tahun ini.
Katanya, pelaksanaan program itu memberi manfaat kepada 408 orang penerima bantuan peralatan iaitu 208 orang melalui program Blueprint dan 200 orang melalui program i-SEED.
"Selain itu, seramai 61 orang peserta yang ditawarkan mengikuti latihan keusahawanan di bawah Program Transformasi Peniaga Kecil Bantuan Selangor (TABS) berjaya menamatkan latihan.
"Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan program Blueprint dan i-SEED melalui pendekatan yang lebih bersepadu dengan menghubungkan bantuan peralatan kepada latihan dan bimbingan serta pemantauan prestasi perniagaan penerima," katanya.






