
KERAJAAN Negeri meluluskan RM1.85 juta untuk membantu meringankan beban pelajar Sabah yang sedang menuntut di Mesir, Arab Saudi dan Jordan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kerajaan Negeri memahami kos sara hidup tinggi yang dihadapi oleh pelajar di Timur Tengah (TT),” katanya, menambah bahawa Yayasan Kebajikan Sabah dan Yayasan Sabah akan menyelaraskan bantuan itu.
Hajiji membuat pengumuman itu pada majlis perjumpaan bersama pelajar-pelajar ini, yang dianjurkan oleh Yayasan Sabah di Al-Saraya Intercontinental, City Star Hotel di Kaherah, Mesir, pada 18 Mac.
Lebih 200 pelajar Sabah kini sedang menuntut di negara-negara tersebut.
“Saya mahu anda semua terus fokus pada pelajaran dan gunakan peluang ini untuk mengaji Al-Quran dan Hadis secara mendalam.
“Mempunyai pemahaman lebih mendalam akan meningkatkan nilai intelek anda yang akan menjadi aset kepada anda apabila kembali berkhidmat kepada negara,” katanya.
Turut mengiringi beliau adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.
Beliau turut menyaksikan penyerahan RM10,000 untuk membeli buku perpustakaan Wisma Yayasan Sabah di sini daripada Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), set Hadrah bernilai RM4,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah serta set komputer kepada Persatuan Pelajar Mesir yang disumbangkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri.
Ketua Menteri turut minum pagi bersama pelajar sebelum berlepas bersama isteri dan rombongan ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Pada 16 Mac, Ketua Menteri melawat Ekspo dan Persidangan Keselamatan Maklumat Teluk (GISEC) di Pusat Dagangan Dunia Dubai.
Beliau diiringi oleh Safar, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie dan ahli-ahli lembaga pengarah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

