Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah perkukuh agenda pendidikan

20 Aug 2025 • 2:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Komitmen Kerajaan Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah dalam memperkasakan pendidikan, diperkukuh melalui penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diadakan pada 19 Ogos di Dewan Serbaguna Libaran, di sini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah selaku Timbalan Pengerusi Pelaksana TPNS, Dato’ Sri Gulamhaidar, Ahli-ahli Jawatankuasa TPNS serta wakil agensi kerajaan dan institusi pendidikan.

Majlis kali ini menyaksikan seramai 39 pelajar cemerlang terdiri daripada 16 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua pelajar Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), 17 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan empat pelajar STPM (Sekolah Luar Bandar) 2024.  Mereka menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi pelajar cemerlang SPM, STPM dan MUET, serta RM500 bagi pelajar STPM luar bandar bagi meringankan beban kewangan mereka dalam usaha melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

Selain itu, seramai 441 mahasiswa golongan B40 menerima bantuan sekali-bayar terdiri daripada 17 mahasiswa Politeknik Sandakan, 143 mahasiswa Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, 35 mahasiswa Kolej Komuniti Sandakan, 51 mahasiswa Kolej Kemahiran TVET Sandakan, 104 mahasiswa Ijazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS), dua mahasiswa Sarjana UMS, 86 mahasiswa Open University Malaysia (OUM) Pusat Pengajian Sandakan, serta tiga mahasiswa institut pengajian tinggi sekitar daerah Sandakan.

Dalam majlis sama, seramai 50 pelajar turut menerima bantuan cermin mata, sementara tiga sekolah menerima Bantuan Sekolah Angkat iaitu SK Sungai Manila, Sandakan dan SK Pulau Timbang, Sandakan masing-masing menerima bantuan RM5,000 serta SMK Tongod yang menerima bantuan RM10,000.  Sekolah Pondok Miftahussalam, Sandakan menerima bantuan RM6,500.

Mohd Arifin turut menyampaikan Honorarium Tokoh Pelajar Daerah Sandakan kepada Mohammad Azmir Misnani atas pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Dalam majlis sama, bantuan pendidikan turut disampaikan kepada pelajar menerusi beberapa inisiatif sedia ada, termasuk Bantuan Galakan Usaha Sekolah (Bagus), Skim Umum Kecemerlangan Siswa (Sukses), Bantuan Khas Peperiksaan (Bakti) dan Bantuan Insentif Siswa Terbaik (Bistari) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyokong pembangunan modal insan negeri ini.

TPNS merupakan inisiatif proaktif Kerajaan Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha meringankan beban kewangan golongan keluarga berpendapatan rendah. Ia turut mencerminkan komitmen untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Majlis ini diharap menjadi pemangkin inspirasi kepada pelajar untuk terus gigih mencapai kecemerlangan, sekali gus melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing yang mampu menyumbang secara menyeluruh kepada kemajuan negeri.