TDM salur RM1.16 juta hasil sawit kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu

LocalBusiness & Finance
13 Aug 2025 • 2:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TDM salur RM1.16 juta hasil sawit kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu

image is not available

13/08/2025 - 14:28

Penyerahan replika cek keuntungan hasil sawit TDM kepada LTAWNT di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu / Gambar TDM Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 13 Ogos – TDM Berhad menyalurkan pembayaran perkongsian keuntungan berjumlah RM1,164,670 kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Jumlah tersebut hasil daripada kejayaan Projek Tanaman Kelapa Sawit di Ladang Air Puteh, Mukim Tebak, Kemaman, yang telah diuruskan secara bersama selama hampir tiga dekad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Haji Najman Kamaruddin berkata, usaha sama strategik itu adalah contoh terbaik kolaborasi sektor korporat dan kerajaan negeri dalam memaksimumkan potensi industri perladangan.

“Kejayaan ini bukan sahaja memberikan pulangan kewangan mampan, tetapi turut menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, dan memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek yang diusahakan oleh TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) merangkumi pengurusan 1,336 hektar tanah milik LTAWNT di Ladang Air Puteh, Kemaman sejak perjanjian dimeterai pada 1996.

Beliau berkata, kejayaan berterusan itu mencerminkan kekuatan model perniagaan TDM yang mampu mengekalkan prestasi positif walaupun berdepan cabaran harga komoditi global.

“Selain pulangan kewangan, TDM turut menyokong usaha kerajaan negeri meningkatkan produktiviti tanah terbiar, memacu kelestarian pertanian melalui amalan perladangan mampan, serta memperkukuh kedudukan Terengganu dalam rantaian nilai industri sawit.

“Inisiatif ini selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 30), yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Penyerahan replika cek itu disempurnakan oleh Najman kepada Setiausaha LTAWNT Nor Azam A Rahman @ Yusof dan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.

Tambahnya, sebagai kumpulan berasaskan perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM kekal komited untuk meningkatkan kecekapan operasi, meneroka peluang baharu, dan memastikan setiap projek memberi impak positif kepada negeri dan masyarakat.

“Dengan landasan kukuh ini, TDM yakin usahasama dengan LTAWNT akan terus menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi Terengganu pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com

standard