KLANG - Isu kelestarian ekonomi bumiputera perlu diberi perhatian serius susulan kebimbangan semakin banyak sektor perniagaan dikuasai warga asing.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, perkara itu bukan ditujukan kepada mana-mana pihak atau parti politik, sebaliknya membabitkan sikap dan daya tahan usahawan tempatan dalam mempertahankan perniagaan masing-masing.
"Kita kena lihat bagaimana banyak kedai gunting rambut yang dibantu MARA untuk melahirkan usahawan bumiputera, namun akhirnya diambil alih orang luar.
"Kalau kita kata tak mahu orang luar, kenapa mereka boleh datang dari luar negara dan bekerja dalam bidang itu? Jadi soal mempertahankan kelangsungan perniagaan ini perlu diberi perhatian," katanya ketika mengulas isu penguasaan ekonomi oleh warga asing dalam beberapa sektor perniagaan tempatan.
Terdahulu, Mohamad merasmikan Program Peluncuran Tuaian Nanas di Projek Rintis Pintar Parlimen Kota Raja, di sini pada Jumaat.
Mohamad berkata, antara cabaran utama ketika ini ialah memastikan sesuatu projek atau perusahaan mampu bertahan dalam tempoh panjang dan tidak sekadar berkembang seketika sebelum lenyap.
"Sebab itu saya kata, mungkin lima tahun lagi kebun nanas sudah tiada dan bertukar kepada tanaman lain, namun paling penting ialah penerusan dan kemampuan bertahan.
"Kita tengok ada projek yang selepas dua atau tiga tahun sudah hilang. Itu yang kita mahu cari jalan bagaimana memastikan soal kelestarian ini dapat diperkukuhkan,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kejayaan usahawan dalam sektor akuakultur yang mampu bertahan selama puluhan tahun meskipun berdepan kerugian pada peringkat awal.
"Saya tengok orang Tiong Hua dalam bidang akuakultur ini, walaupun sakit dan rugi untung, mereka tetap bertahan 15 hingga 20 tahun sehingga akhirnya berjaya.
"Ini perkara yang perlu kita renung bersama tanpa menyalahkan mana-mana pihak," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa, banyak kebun dan perniagaan kecil kini diserahkan kepada warga asing kerana kurang minat dalam kalangan penduduk tempatan untuk mengusahakannya.
"Kalau kita tengok di Kuala Lumpur sekarang, kedai telefon, elektrik dan pelbagai perniagaan lain banyak dikendalikan warga asing.
"Di Pasar Selayang pun secara mata kasar kita boleh lihat mereka menguasai sebahagian besar perniagaan di situ," tambah beliau.



