Empat kaunter khas bantu pengusaha jentera padi mohon diesel di Sekinchan

LocalPolitics
15 May 2026 • 12:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat kaunter khas bantu pengusaha jentera padi mohon diesel di Sekinchan
Mohamad (tengah) menyerahkan replika cek kepada salah seorang penerima pada Program Peluncuran Tuaian Nanas di Projek Rintis Pintar Parlimen Kota Raja.

KLANG – Kaunter permohonan permit khas diesel akan dibuka di empat lokasi di kawasan Barat Laut Selangor bermula 19 hingga 21 Mei ini bagi membantu pesawah dan pengusaha jentera padi terutama di sekitar Sekinchan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan rungutan pengusaha jentera padi yang mendakwa hanya dibenarkan membeli 20 liter diesel sehari sehingga menjejaskan operasi mereka.

Menurutnya, kaunter khas berkenaan diwujudkan bagi memudahkan pesawah membuat permohonan secara manual tanpa perlu dilakukan secara dalam talian.

"Setakat ini pesawah boleh memohon sehingga 200 liter diesel sehari dan jika ada keperluan lebih daripada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh mempertimbangkannya mengikut kes," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Peluncuran Tuaian Nanas di Projek Rintis Pintar Parlimen Kota Raja di sini pada Jumaat.

Mohamad berkata, permohonan dibuat secara manual supaya ia dapat dinilai satu persatu dan memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan diberikan kelulusan.

Beliau menjelaskan, langkah itu juga penting bagi mengelakkan ketirisan susulan pengesanan beberapa kes penyalahgunaan subsidi diesel oleh pihak berkuasa.

Katanya, walaupun pengurusan bekalan diesel berada di bawah kementerian lain, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan KPDN bagi memastikan keperluan pesawah dan pengusaha jentera padi tidak terjejas.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kira-kira 6,000 hektar sawah di sekitar kawasan Sekinchan, Sungai Leman, Sungai Nipah dan Pasir Panjang di sini berisiko terjejas berikutan kesukaran pemilik jentera padi mendapatkan bekalan diesel sekali gus menjejaskan anggaran pengeluaran padi sehingga 42,000 tan metrik semusim.

Isu itu membabitkan kira-kira 2,900 pesawah di kawasan terbabit yang berdepan kesukaran menuai padi akibat kekangan bekalan bahan api.

Susulan itu, KPDN Selangor menyediakan permit khas bagi membantu pesawah dan petani mendapatkan bekalan diesel serta petrol secara berterusan.

KPDN Selangor berkata, permit berkenaan boleh dikeluarkan oleh pengawal bekalan atau timbalan pengawal bekalan di bawah kategori pertanian dan penternakan untuk membolehkan pembelian bahan api dibuat di mana-mana stesen minyak dipilih.