Bapa Qariesya tampil beri penjelasan, pertahan anak dari kecaman netizen

17 May 2025 • 7:06 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Dua atlet remaja negara, Nur Azwa Qariesya dan Rachael Goh, baru-baru ini menjadi perhatian netizen selepas pasukan bola tampar pantai wanita Malaysia tersingkir awal di kejohanan Terbuka Pingtan AVC di China.

Kekalahan 0-2 kepada pasukan China dan Jepun menjadi permulaan kepada pelbagai reaksi di media sosial, khususnya berkaitan saiz fizikal kedua-dua pemain yang dikatakan terlalu kecil untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Kritikan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada atlet muda, malah turut menyentuh perasaan keluarga mereka.

Bapa kepada Qariesya, Mohammad Noor Aizuddin, tampil memberi penjelasan bagi membetulkan tanggapan segelintir pihak yang menilai tanpa mengetahui usaha di sebaliknya. Dalam satu temubual bersama The Reporter, beliau berkongsi bagaimana anaknya bermula dari bawah tanpa sokongan institusi besar, namun tetap berjaya menempah nama di peringkat Asia.

Bermula dari gelanggang simen buatan sendiri

Qariesya mula menceburi sukan bola tampar sejak di bangku Darjah Dua, di bawah bimbingan jurulatih pertamanya, Cikgu Bun Lai Ken dari SK Seri Penanti. Pada tahun 2020 dan 2021, ketika sukan baru dibenarkan semula selepas pandemik, jurulatih dan pemain termasuk Qariesya bergotong-royong membina sendiri gelanggang bola tampar pantai menggunakan dana peribadi dan bantuan ibu bapa, semata-mata demi mencipta peluang mewakili negeri dan negara.

“Qari bersama senior-senior dan Cikgu Bun bina gelanggang sendiri. Bancuh simen, ikat bata, angkut pasir… semua buat sendiri. Masa tu kami langsung tak kenal MSN, MAVA atau sesiapa pun dalam bola tampar pantai,” katanya.

Terpilih ke kejohanan dunia, tetapi dikecam kerana fizikal

Pendedahan itu membuka sisi lain kepada kisah dua atlet ini. Bukan hanya berlatih setiap hari tanpa cuti, Qariesya juga menjadi sebahagian daripada pasukan pelapis yang pernah menewaskan Jepun dan New Zealand dalam Kejohanan Asia Bawah 19 tahun sebelum layak ke Kejohanan Dunia U19 secara merit.

Namun kejayaan itu seolah-olah tenggelam selepas dua kekalahan berturut-turut di tangan China dan Jepun. Mohammad Noor Aizuddin mengakui anaknya terkesan dengan kecaman netizen, apatah lagi apabila usaha bertahun-tahun dianggap hanya layak kerana ‘kabel’.

“Pada mulanya dia sangat terkesan dengan ayat-ayat kritikan dan penghinaan. Dia kesian bila tengok ibu dia sedih. Kemenangan dan kejayaan antarabangsa selama ini tak dihargai, sebaliknya dikata layak sebab kabel,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan, penyertaan ke kejohanan Pingtan AVC di China baru-baru ini adalah kerana dua pemain utama negara tidak dapat hadir. Justeru MAVA mengambil keputusan untuk menghantar pasukan pelapis termasuk Qariesya dan Rachael. Penyertaan itu penting untuk mengumpul mata kelayakan ke beberapa kejohanan besar termasuk Youth Olympic 2026.

Usah menghina, membahan fizikal atlet

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan komen dan tidak menjadikan fizikal atlet sebagai bahan kecaman.

“Netizen komen dengan tuduhan dan fitnah macam-macam. Bukan itu saja, menghina dan menggelarkan fizikal pemain kita dengan maksud yang tidak elok.

“Tolonglah hormati perasaan sesama kita dan janganlah ikut pihak-pihak yang sengaja hendak mengaibkan atlet negara kita. Saya mohon maaf jika kami tersilap kata. Hargailah pencapaian mereka yang pernah mencipta kejayaan, bukannya hakimi kekalahan mereka,” ujarnya.

Senarai pencapaian Qariesya (2019–2025)

Sepanjang penglibatannya dalam bola tampar sejak kecil, Qariesya telah meraih pelbagai kejuaraan peringkat negeri dan kebangsaan termasuk Johan Pulau Pinang U12 dan U18, Johan Bola Tampar Pantai Malaysia bawah 14 dan 17 tahun, serta Naib Johan peringkat kebangsaan bawah 20 tahun.

Qariesya juga memenangi anugerah ‘Best Spiker’ bawah 14 kebangsaan dan berjaya layak secara merit ke Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai bawah 19 tahun di China.