
Bapa Rayu Kesan Anak Perempuan OKU Hilang
Seorang bapa merayu orang ramai agar membantu mengesan anak perempuannya, Nor Adriana Syazwani Nor Azlan Shah, 17, yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Adriana, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam, dipercayai hilang ketika keluar untuk bekerja.
Menurut laporan polis, kehilangan Adriana disedari oleh bapanya pada jam 2 petang.
Difahamkan, si bapa mendapati skuter elektrik yang lazimnya digunakan oleh anaknya untuk pergi bekerja tidak berada di hadapan premis perniagaan tempat anaknya bekerja.
Setibanya di rumah, si bapa menghubungi pengurus tempat anaknya bekerja, namun dimaklumkan bahawa Adriana tidak hadir bekerja pada hari tersebut.
Bimbang akan keselamatan anaknya, si bapa segera mencari anaknya sebelum akhirnya menemui skuter tersebut ditinggalkan di belakang deretan rumah kedai berhampiran.
Difahamkan, ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Pada 2024, si bapa pernah membuat laporan polis berhubung ketidakhadiran Adriana ke sekolah selepas didapati mengikut teman lelakinya.
Menurut si bapa, usaha mengesan Adriana semakin sukar apabila dia dipercayai telah mematikan aplikasi Family Link yang sebelum ini digunakan oleh keluarganya untuk mengesan lokasinya.

Sehubungan itu, si bapa merayu agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Adriana dapat tampil membantu atau segera menghubungi balai polis terdekat.
Sumber: Jazli Yusoff/Facebook
The post Bapa Rayu Kesan Anak Perempuan OKU Hilang appeared first on Siakap Keli.



