PASIR MAS – Seorang bapa dihukum penjara 33 tahun dan 32 sebatan selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan merogol anak tirinya sejak gadis itu berada di Tingkatan Dua, di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Jurukimpal lelaki berusia 40 tahun itu dijatuhi hukuman selepas mengakui semua pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah, termasuk kesalahan mencederakan mangsa.
Berdasarkan fakta kes, kejadian rogol itu terbongkar apabila ibu mangsa yang juga isteri tertuduh membuat laporan polis susulan mangsa dipukul oleh tertuduh.
Mangsa kemudian memberitahu bahawa punca dia dipukul adalah kerana dia menceritakan kepada rakannya bahawa dia dirogol oleh bapa tirinya.
Kejadian berlaku bermula ketika mangsa berusia 14 tahun hingga 18 tahun, termasuk ketika ibunya berada di hospital kerana bersalin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa sekitar Jun 2022, jam 12 tengah malam, manakala pertuduhan kedua pada 13 April 2023, jam 1 pagi di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Kedua-dua pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa di lokasi sama pada Mei 2025 jam 11 malam, 9 Januari lalu jam 11 malam, 22 April lalu jam 3 petang dan 23 April 2026 jam 11 malam.
Kesemua pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, tertuduh turut dihukum penjara dua tahun kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak tirinya itu pada jam 11 malam, 25 April lalu di lokasi sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, tertuduh memohon budi bicara hakim supaya mengurangkan hukumannya, namun Siti Aiysha Na’ilah berhujah bahawa hukuman perlu benar-benar memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
“Kesalahan yang amat serius melibatkan mangsa berusia 14 tahun empat bulan dan berlarutan sehingga mangsa mencapai usia 18 tahun.
“Mangsa ialah anak tiri tertuduh yang tinggal serumah, menyebabkan mangsa terdedah dan sukar mendapatkan bantuan selain ketakutan sehingga tidak berani mendedahkan kejadian, malah dipukul apabila perkara itu diketahui tertuduh,” katanya.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman tersebut selain mengenakan perintah tambahan dengan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.



