Tukang Kimpal Dipenjara 33 Tahun, 32 Sebatan Rogol Anak Tiri

LocalPolitics
6 May 2026 • 3:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tukang Kimpal Dipenjara 33 Tahun, 32 Sebatan Rogol Anak Tiri

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 32 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan merogol anak tirinya sejak mangsa berada di Tingkatan Dua.

Tertuduh berusia 40 tahun yang bekerja sebagai tukang kimpal itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut fakta kes, perbuatan itu terbongkar apabila ibu mangsa yang juga isteri tertuduh membuat laporan polis selepas mendapati anaknya dipukul oleh tertuduh.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dipukul kerana memberitahu rakannya mengenai perbuatan rogol yang dilakukan tertuduh. 

Perbuatan menjijikkan tersebut berlaku ketika mangsa berusia antara 14 hingga 18 tahun, termasuk ketika ibunya berada di hospital untuk melahirkan anak. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa pada sekitar Jun 2022 pada tengah malam, manakala pertuduhan kedua pada 13 April 2023 kira-kira jam 1 pagi di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa di lokasi sama masing-masing pada Mei 2025 (jam 11 malam), 9 Januari (jam 11 malam), 22 April (jam 3 petang) dan 23 April 2026 (jam 11 malam).

Semua pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap tertuduh kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa pada 25 April kira-kira jam 11 malam di lokasi sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukuman diringankan, namun pihak pendakwaan berhujah bahawa hukuman tegas perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Kes ini amat serius kerana melibatkan mangsa berusia 14 tahun empat bulan dan berlarutan sehingga mangsa berusia 18 tahun.

“Mangsa tinggal serumah dengan tertuduh, menyebabkan dia berada dalam keadaan terdedah, sukar mendapatkan bantuan serta ketakutan sehingga tidak berani mendedahkan kejadian, malah dipukul apabila perkara itu diketahui tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman serta memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman. - Getaran, 6 Mei 2026