Bapa rogol dua anak kandung dihukum penjara 165 tahun, sebat

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 3:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh (tengah) diiringi polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada Rabu.

LAHAD DATU – [KEMAS KINI] Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 165 tahun dan dikenakan sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dua anak kandungnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Tertuduh yang berusia 54 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suhaila Selag.

Sebelum itu, tertuduh didakwa atas 11 pertuduhan merogol dua anaknya dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman sebat sebanyak 10 kali bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Shahril Haja Mohaideen bersama pegawai penyiasat, Inspektor Malati Labpak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, lelaki tersebut ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua anaknya sendiri di Balai Polis Tawau pada 22 Mac lalu.

"Suspek ditahan kerana merogol dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 25 dan 22 tahun di beberapa tempat di Lahad Datu dan Tawau.

"Kedua-dua mangsa menjadi mangsa sejak berusia 15 dan 18 tahun apabila sering dipaksa melakukan hubungan seks dengan ugutan akan dipukul jika tidak menuruti kehendak suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, suspek kemudian dituduh di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.

"Suspek didakwa atas lima pertuduhan merogol anaknya yang berusia 25 tahun manakala enam pertuduhan merogol anaknya berusia 22 tahun selain turut didakwa satu lagi pertuduhan merogol seorang wanita.

"Kesalahan suspek boleh membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan bagi setiap kesalahan," katanya.