TAWAU – Seorang lelaki warga emas dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki hampir 600 sisik penyu di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Tertuduh, Khalid Janullah, 65, yang juga warga asing, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada kira-kira jam 9.05 pagi, 15 November 2025, di sebuah premis di Bandar Semporna, Jalan Datu Jakarullah, didapati memiliki sebanyak 570 keping sisik penyu daripada spesies Eretmochelys imbricata.
Penyu tersebut ialah haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4) enakmen yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM250,000 serta penjara untuk tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap tertuduh serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



