
KLANG – Seorang lelaki warga emas dan anak saudaranya maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Taman Bayu Perdana di sini, hari ini.
Mangsa berusia 66 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu ditemukan tidak bernyawa di dalam tandas berasingan selepas kediaman di tingkat dua berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.51 petang.
Jelasnya, operasi itu disertai sepasukan 18 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Andalas.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan rumah kedai di tingkat dua yang dianggarkan 90 peratus terbakar
“Kedua-dua mayat mangsa yang juga bapa saudara dan anak saudara itu ditemukan di dalam tandas berasingan kira-kira pukul 6.33 petang,” katanya malam ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa yang berada di dalam rumah itu berjaya diselamatkan orang awam dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selepas mengalami sesak nafas.- KOSMO! ONLINE
The post Bapa saudara, budak lapan tahun maut rumah kedai terbakar appeared first on Kosmo Digital.





