Bapa Tunggal Sebak Terpaksa Hantar 3 Orang Anak Ke Rumah Anak Yatim Kerana Desakan Hidup

LocalFamily & Parenting
16 Oct 2025 • 12:33 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Bagi kebanyakan ibu bapa, kasih sayang terhadap anak tidak tertanding nilainya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah ramai yang sanggup berkorban masa mahupun wang ringgit asalkan keperluan dan kemahuan anak dapat dipenuhi.

Lihat sahajalah ramai individu khususnya si bapa sanggup bekerja lebih dari satu masa bagi menampung perbelajaan keluarga.

Namun, tidak semua mampu berbuat demikian. Adakalanya keadaan mendesak hingga mereka terpaksa melakukan sesuatu yang bukan kehendak sendiri.

Bapa Tunggal Terpaksa Serah 3 Anak Di Pusat Jagaan Anak Yatim

Semalam (15 Oktober), tular di media sosial tindakan seorang bapa tunggal yang terpaksa menyerahkan tiga orang anak kesayangannya ke Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz, Teluk Intan, Perak.

Menerusi laman Facebook Mothership Sg yang memetik Sin Chew Daily, bapa yang dikenali sebagai Huang Guowei terpaksa bertindak demikian kerana tidak mampu menyara anaknya dengan pendapatan sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur.

Huang memilih untuk menghantar tiga orang anaknya yang berusia lima, tujuh dan sembilan tahun ke Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan pada Isnin (13 Oktober) lalu.

image is not available

Pernah Hantar Anak Ke Pusat Jagaan Di Kuala Lumpur

Bekerja sebagai pemandu lori, Huang menjana pendapatan bulanan sebanyak RM2,600.

Dia hidup dalam keadaan yang sederhana dengan hanya menikmati kopi ketika sarapan, roti sewaktu makan tengahari dan nasi untuk makan malam.

Dengan cara tersebut, Huang memperuntukkan RM300 sebulan bagi membayar yuran penjagaan anaknya yang sebelum ini dihantar di pusat jagaan kanak-kanak yang terletak di Kuala Lumpur.

Walaupun pusat jagaan tersebut telah bersetuju untuk mengurangkan yuran dari RM400 menjadi RM300, Huang masih tidak mampu untuk menanggungnya.

Oleh kerana itu, dia mengambil keputusan untuk menghantar kesemua anaknya ke rumah anak yatim di Teluk Intan kerana tidak dikenakan bayaran.

Malah, anak-anaknya itu sebelum ini hanya mengikuti kelas di gereja berbanding sekolah dan tadika biasa.

Sebak Hantar Anak Ke Rumah Anak Yatim, Titip Pesan Belajar Bersungguh-Sungguh

Menerusi hantaran yang tular, Huang kelihatan sebak dan mengelap air mata kerana terpaksa bertindak sedemikian.

Malah difahamkan, dia turut menitipkan pesan buat anak lelakinya agar belajar bersungguh-sungguh supaya cita-cita yang diimpikan menjadi seorang pegawai polis dapat tercapai.

Ketiga-tiga anaknya itu merupakan hasil perkahwinan Huang bersama bekas isteri yang merupakan warganegara Vietnam pada tahun 2016.

Namun, pasangan itu bercerai pada 30 Mei 2024 dan Huang diberi hak penjagaan penuh ketiga-tiga anaknya.

Bapa Tunggal Pilih Teluk Intan Kerana Berasal Dari Situ

Memetik Sinar Harian, Pengerusi Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan, Kong Sun Chin menjelaskan dia menerima dengan hati terbuka kedatangan tiga beradik tersebut.

“Saya difahamkan sebelum ini anak-anaknya dihantar ke sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur.

“Tetapi disebabkan tidak lagi mampu, dia bawa anaknya untuk tinggal di sini selepas tahu kewujudan pusat jagaan ini. Kebetulan pula bapa kanak-kanak ini berasal dari Teluk Intan.

“Kita terima permintaan untuk anak-anaknya tinggal di sini tanpa sebarang bayaran kerana keadaan kehidupannya yang sukar ketika ini,” jelasnya.

Terang Sun Chin lagi, pusat jagaannya itu tidak menghalang lelaki yang berusia 56 tahun itu untuk bertemu atau mengambil anak-anaknya pada bila-bila masa.

Merujuk laman Mothership Sg yang memetik Sin Chew Daily, pusat jagaan anak yatim itu akan membuat permohonan menerusi Biro Kebajikan Sosial agar ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan dapat bersekolah di tadika dan sekolah rendah.

Malah, mereka juga akan mengatur sesi kaunseling bersama kaunselor buat kanak-kanak berkenaan.

Pusat Jagaan Beroperasi Dengan Dana Sendiri Sebelum Dapat Sumbangan

Kongsi Sun Chin, pusat jagaannya sebelum ini beroperasi dengan dana sendiri sebelum mendapat sumbangan daripada orang ramai dan agensi kerajaan.

“Di sini kita hantar mereka pergi ke sekolah dan kita sediakan juga tuisyen untuk anak-anak supaya mereka lebih cemerlang.

“Sudah ramai anak-anak yang tinggal di sini berjaya melanjutkan pelajaran di universiti malah ada yang akan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana,” jelasnya lagi.

A divorced father sent his three children to an orphanage in Malaysia as he could not afford to provide for them. He…

Posted by Mothership on Tuesday 14 October 2025

Source: