Bapa Zara Qairina diberitahu anak kritikal, koma selamanya jika hidup

7 Sep 2026 • 11:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa Zara Qairina diberitahu anak kritikal, koma selamanya jika hidup
Mahathir membacakan kenyataan bertulisnya semasa prosiding inkues berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU - Bapa Zara Qairina dimaklumkan bahawa sekiranya anaknya hidup, remaja itu hanya akan berada dalam keadaan koma selama-lamanya.

Mahathir Mohd Hashim, 45, yang merupakan saksi ke-80 berkata demikian ketika membacakan kenyataan bertulisnya semasa prosiding inkues berlangsung di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di Beaufort dan dimaklumkan oleh ibu Zara Qairina mengenai anak mereka yang berada di unit kecemasan sekitar jam 8 hingga 10 pagi pada 16 Julai 2025 menerusi mesej aplikasi WhatsApp.

"Bagaimanapun, pada ketika itu, saya tidak tahu Zara berada di hospital mana dan tiada maklumat di hospital mana Zara berada.

"Saya tidak ingat bagaimana saya mendapat maklumat bahawa Zara berada di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu (HQE I), sama ada daripada ibu Zara atau berdasarkan tekaan saya sendiri. Saya tidak ingat sama ada ibu Zara ada memberitahu saya atau tidak.

"Saya terus bergegas ke HQE I selepas mengetahui bahawa Zara berada di hospital tersebut. Setibanya saya di unit kecemasan HQE I lebih kurang jam 1 hingga 3 petang pada 16 Julai 2025, saya nampak ibu Zara berada di luar unit kecemasan lalu saya bertanya ibu Zara tentang keberadaan Zara," katanya.

Katanya, selepas dimaklumkan oleh ibu Zara Qairina, dia terus mendapatkan anaknya yang berada di katil selepas mendapat kebenaran daripada jururawat di unit kecemasan.

"Setibanya di katil Zara, saya melihat dua wanita memakai baju seragam berwarna biru gelap iaitu doktor-doktor berada bersama-sama Zara. Saya tidak ingat nama kedua-dua doktor wanita tersebut dan saya juga tidak tahu jawatan atau pangkat mereka.

"Saya kemudiannya dimaklumkan bahawa keadaan Zara pada ketika itu adalah kritikal. Beliau turut memaklumkan bahawa sekiranya Zara hidup, dia hanya akan berada dalam keadaan koma selama-lamanya.

"Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa Zara mengalami kecederaan serius yang melibatkan pendarahan otak, paru-paru, buah pinggang serta patah kaki.

"Semasa saya berada di sisi katil Zara bersama-sama dengan doktor-doktor yang lain, saya nampak bantal di tempat Zara berbaring penuh dengan darah. Selepas itu, saya memegang kepala Zara dan mencium dahi Zara," katanya.

Tambahnya, ketika memegang bahagian belakang kepala anaknya, dia mendapati bahagian belakang atas leher Zara Qairina berasa lembut dan seolah-olah terdapat lekukan.

"Saya juga mendapati kaki kiri Zara pula dibalut dari bahagian paha hingga ke tapak kaki. Saya ada berjumpa dengan beberapa orang guru perempuan di luar unit kecemasan untuk bertanyakan tentang apa yang sebenarnya telah berlaku kepada Zara dan sama ada mereka merupakan warden perempuan.

"Namun, mereka hanya memperkenalkan diri mereka sebagai guru Sejarah dan guru Bahasa Melayu," katanya.

Mahathir berkata, pada 17 Julai 2025 ketika berada di HQE I, seorang doktor mengesahkan kematian Zara Qairina.

"Pada ketika itu, saya berada bersama dengan doktor tersebut. Saya tidak pernah ditanya sama ada saya bersetuju atau tidak untuk bedah siasat dijalankan.

"Dari 16 Julai 2025 hingga 17 Julai 2025, saya berada di HQE I dan tidur di kawasan hospital untuk menunggu Zara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved