Barah scam dalam talian parah, YB Fahmi Fadzil arah SKMM bekerja lebih tangkas dan tegas

20 Dec 2022 • 9:33 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), YB Fahmi Fadzil mengakui yang scam dalam talian khususnya di media sosial semakin menjadi-jadi. Beliau, sehubungan dengan itu, telah menyeru SKMM supaya bersama-sama membanteras aktiviti ini dengan lebih pantas dan tegas.

Gejala scam dan penyebaran berita palsu adalah antara isu yang menjadi keutamaan beliau apabila mengetik masuk ke pejabat KKD kurang sebulan yang lalu. Malah, beliau mengulangi mesej yang serupa dalam satu perjumpaan bersama kakitangan KKD pada 16 Disember 2022 lalu dan berkongsikan anekdot tentang ibunya sendiri adalah mangsa penipuan dalam talian yang kehilangan puluhan ribu ringgit.

YB Fahmi Fadzil merujuk kepada satu utusan yang dibuat portal Bahasa Inggeris kami tentang kelemahan sistem penapisan Meta yang gagal menapis keluar iklan scam, khususnya jenis yang menyamar menjadi tokoh tempatan dan jenama popular. Salah satu yang berleluasa sekarang adalah akaun yang menyamar menjadi portal berita Sin Chew Daily.

Penipu ini giat menyebarkan “promosi” tentang pemberian buku percuma mendiang pengasas Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow. Apabila dihubungi, penipu menyuruh kita menekan satu pautan yang membawa kita ke WhatsApp untuk tindakan selanjutnya.

Kalau anda nak tahu betapa parahnya gejala scam dalan talian masa ini, kerajaan telah menubuhkan satu badan khas iaitu Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang objektifnya hanya untuk banteras penipuan dalam talian ini. Buat anda yang rasa ditipu, bersegeralah untuk menghubungi 997 supaya Bank Negara Malaysia (BNM) boleh bertindak menyekat aliran wang anda daripada pergi lebih jauh.

Terang Fahmi, penipuan sebegini merupakan satu risiko ekonomi di bawah pemantauan BNM kerana ia boleh menjerumus ke dalam pelbagai tindakan berbahaya seperti pengedaran dadah, pembelian senjata api dan lain-lain. Inilah pentingnya untuk melaporkan kepada NSRC supaya langkah pantas membendung boleh diambil.