Barang dijual dalam talian mesti sama seperti diiklankan – Fuziah

LocalDigital
28 Aug 2026 • 7:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Barang dijual dalam talian mesti sama seperti diiklankan – Fuziah

PETALING JAYA – Barang yang dijual menerusi platform e-dagang perlu menepati maklumat dan spesifikasi seperti diiklankan sebagaimana pengguna berhak mendapat sukatan tepat ketika membeli barangan secara fizikal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, prinsip perlindungan pengguna tidak seharusnya berubah walaupun corak pembelian masyarakat kini semakin beralih kepada platform digital.

Menurutnya, sekiranya pengguna membeli satu kilogram (kg) ayam di pasar, alat timbang digunakan perlu melalui proses penentusahan bagi memastikan berat tersebut benar-benar tepat.

“Dalam e-dagang juga, kita perlu memastikan apa yang diiklankan sama dengan yang pengguna terima. (Platform e-dagang) Kita mungkin tidak melihat atau menyentuh barang.

“Kita membuat keputusan berdasarkan gambar, deskripsi produk, kuantiti, spesifikasi, harga dan maklumat yang dipaparkan di platform,” katanya dalam antaran di Facebook hari ini.

Fuziah berkata, perkara itu menjadi antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian dalam kerangka Akta E-Dagang bagi memastikan perlindungan sewajarnya kepada pengguna.

Katanya, tanggungjawab terhadap ketepatan maklumat produk, penjual dan platform perlu diperjelaskan selain menyediakan mekanisme lebih berkesan sekiranya berlaku masalah dalam urus niaga.

Ia termasuk keadaan apabila barangan yang dibeli tidak sampai, berbeza daripada apa yang dijanjikan atau mendatangkan risiko kepada pengguna.

“Pasar dalam talian juga sememangnya berada dalam ruang naziran dan pematuhan perlindungan pengguna KPDN.

“Bagi saya, Akta E-Dagang bukan sekadar soal mengawal platform, sebaliknya ia membina keyakinan pengguna dalam dunia perdagangan yang semakin digital.

“Cara kita membeli mungkin berubah, tetapi hak kita sebagai pengguna tetap utuh dan tidak berubah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Barang dijual dalam talian mesti sama seperti diiklankan – Fuziah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved