liza29/07/2026 - 16:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Midea Malaysia bekerjasama dengan 99 Speed Mart Sdn Bhd bagi memperluaskan akses pengguna kepada peralatan rumah berkualiti menerusi rangkaian lebih 3,100 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara.
Kerjasama strategik itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat yang membolehkan produk peralatan rumah kecil keluaran Midea ditawarkan kepada pelanggan 99 Speed Mart bermula Ogos 2026.
Menerusi kerjasama berkenaan, pengguna kini boleh mendapatkan pelbagai produk Midea seperti pengisar, cerek elektrik, periuk nasi, kipas, pembakar roti, ketuhar kecil, vakum dan dapur keluli tahan karat di cawangan 99 Speed Mart terpilih seluruh Malaysia.
Pengarah Urusan Midea Malaysia, Mark Tam berkata, kerjasama bersama 99 Speed Mart memberi peluang kepada syarikat itu untuk membawa produk dan teknologi peralatan rumahnya lebih dekat kepada pengguna.
Beliau berkata, rangkaian luas 99 Speed Mart membolehkan Midea mencapai lebih ramai pelanggan di pelbagai kawasan, selaras dengan konsep "Near n’ Save" yang menekankan kemudahan akses kepada pengguna.
Perluas Saluran Jualan Midea Di Malaysia
Menurutnya, kerjasama itu turut melengkapi rangkaian jualan sedia ada Midea yang merangkumi 18 kedai jenama Midea (Midea Brand Stores) serta rangkaian pengedar sah di seluruh negara.
"Melalui gabungan saluran jualan ini, pengguna mempunyai lebih banyak peluang untuk mengenali, mencuba dan membeli produk Midea dengan lebih mudah," katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting bagi syarikat itu memperluaskan tawaran produk kepada pelanggan.
Beliau berkata, sebagai rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia, 99 Speed Mart sentiasa mencari peluang untuk memenuhi keperluan harian rakyat dengan menyediakan lebih banyak pilihan produk.
Fokus Kepada Pertumbuhan Pasaran Asia Pasifik
"Kerjasama dengan Midea membolehkan kami membawa peralatan rumah berkualiti kepada pelanggan di seluruh Malaysia melalui rangkaian kedai kami yang luas," katanya.
Midea berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat di rantau Asia Pasifik menerusi visi "Power Of One" yang menggabungkan inovasi produk, peluasan rangkaian jualan dan pengalaman pelanggan.
Strategi tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan Midea dalam pasaran serantau menerusi produk yang lebih pintar, cekap tenaga dan memenuhi keperluan gaya hidup moden.- DagangNews.com




