Baroqah Gold tawar simpanan emas serendah RM10, sasar setiap keluarga miliki 1kg emas

Business & FinancePersonal Finance
26 Oct 2026 • 3:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Baroqah Gold tawar simpanan emas serendah RM10, sasar setiap keluarga miliki 1kg emas Image from: Baroqah Gold tawar simpanan emas serendah RM10, sasar setiap keluarga miliki 1kg emas sarah26/10/2026 - 15:51 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - Baroqah Gold Holdings Sdn Bhd menawarkan simpanan emas serendah RM10 bagi menggalakkan setiap keluarga memiliki sehingga satu kilogram emas sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan jangka panjang.

 

Pengasasnya, Siti Zaleha Rosli berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menjadikan emas lebih mudah diakses oleh masyarakat, khususnya sebagai salah satu pilihan simpanan dan perancangan kewangan jangka panjang.

 

“Antara lima fokus utama syarikat ini ialah menyediakan kemudahan pembelian dan simpanan emas dalam talian menerusi konsep simpanan emas 24 jam, selain membuka peluang kepada masyarakat memiliki emas bermula serendah RM10,” katanya dalam kenyataan.

 

Beliau berkata demikian sempena pembukaan kedai emas pertama Baroqah Gold di Pontian, Johor, yang menawarkan produk jongkong emas Baroqah Goldbar 999 serta barangan kemas emas 916.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 1 Januari 2026 itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan Akaun Emas Junior, bertujuan memupuk amalan menabung dalam kalangan kanak-kanak sejak lahir sehingga berusia 18 tahun.

 

“Syarikat kami komited memperluas pendidikan berkaitan emas tulen 999.9, dinar emas serta kepentingan kepelbagaian aset dalam perancangan kewangan jangka panjang. Kami berhasrat melahirkan generasi celik emas yang mempunyai pengetahuan mengenai simpanan, pengurusan kewangan dan perancangan masa depan,” katanya.

 

Dalam perkembangan perniagaan, Siti Zaleha berkata, Baroqah Gold merancang memperluas operasinya secara berperingkat menerusi pembukaan lebih banyak cawangan, pengukuhan platform digital serta penerokaan pasaran antarabangsa selepas memperkukuh kedudukannya di Malaysia.

 

Majlis perasmian kedai pertama itu disempurnakan bekas Timbalan Ketua Polis Johor, DCP (B) Datuk Aishah Mohammad pada Sabtu lalu, dengan kehadiran wakil United Nine Creative Sdn Bhd dan Nine Flix selaku rakan penjenamaan serta pengasas Kedai Emas Rambuti dari Indonesia dan Malaysia.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved