PETRONAS, TotalEnergies dan Mitsui bangunkan hab simpanan karbon 5 juta tan setahun, sasar operasi 2031

LocalEnvironment
23 Oct 2026 • 11:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS, TotalEnergies dan Mitsui bangunkan hab simpanan karbon 5 juta tan setahun, sasar operasi 2031 Image from: PETRONAS, TotalEnergies dan Mitsui bangunkan hab simpanan karbon 5 juta tan setahun, sasar operasi 2031 sarah23/10/2026 - 11:53 Gambar hiasan ini dijana kecerdasan buatan. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - PETRONAS, TotalEnergies dan Mitsui & Co Ltd akan membangunkan hab penyimpanan karbon di luar pesisir Semenanjung Malaysia yang disasarkan mampu menyuntik sehingga lima juta tan karbon dioksida (CO2) setahun pada fasa pertama, dengan operasi dijangka bermula seawal 2031.

 

Ketiga-tiga syarikat itu memeterai perjanjian usaha sama (JVA) di Tokyo hari ini bagi membangunkan kawasan penyimpanan CO2 di luar pesisir Semenanjung Malaysia, yang merupakan komponen utama Hab CCS Selatan negara.

 

PETRONAS dalam kenyataan berkata, fasa pertama pembangunan itu akan memberi tumpuan kepada sebuah medan gas yang telah mengalami penyusutan rizab, dengan kapasiti suntikan CO2 dijangka mencecah sehingga lima juta tan setahun, manakala suntikan pertama disasarkan seawal 2031, tertakluk kepada tahap kesiapsiagaan industri.

 

 

 

 

 

 

 

Menurutnya, hab berkenaan dirancang untuk menerima CO2 daripada sumber domestik dan serantau, termasuk potensi penghantaran karbon merentasi sempadan, bagi menyediakan penyelesaian penyimpanan jangka panjang kepada industri yang sukar mengurangkan pelepasan karbon.

 

Perjanjian itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh PETRONAS, PETRONAS CCS Ventures Sdn Bhd (PCCSV), TotalEnergies EP CCS Malaysia dan Mitsui, sekali gus menyediakan rangka kerja penubuhan sebuah syarikat usaha sama khusus untuk membangunkan, mengkomersialkan dan mengendalikan kawasan penyimpanan karbon berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PCCSV, Emry Hisham Yusoff berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen ketiga-tiga pihak yang telah bekerjasama sejak peringkat kajian awal sehingga aktiviti reka bentuk dan kejuruteraan awal (FEED), dengan matlamat mempercepat pembangunan Hab CCS Selatan.

 

"Melalui gabungan kepakaran bawah permukaan PETRONAS, pengalaman global rakan strategik dalam CCS serta keupayaan komersial dan logistik mereka, kami yakin dapat mengekalkan momentum ke arah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) dalam masa terdekat, di samping merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai hab CCS serantau yang terkemuka," katanya.

 

 

 

 

 

Kerjasama ketiga-tiga syarikat bermula menerusi perjanjian pembangunan CCS pada 2023, diikuti Perjanjian Prinsip Utama pada 2025 yang menjadi asas kepada pelaksanaan FEED dan pembentukan struktur usaha sama tersebut.

 

PETRONAS berkata, rakan kongsi kini akan memberi tumpuan kepada pemuktamadan aspek teknikal dan komersial projek penyimpanan karbon pertama itu sebelum keputusan pelaburan akhir dibuat, dengan memanfaatkan kepakaran pengurusan projek PETRONAS, pengalaman pembangunan CCS TotalEnergies serta kekuatan Mitsui dalam pelaburan, pembangunan komersial dan logistik.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved